Kerajaan Sudah Lama Kawal Harga Barang Di Sebalik Cemuhan Pembangkang – Muhyiddin - pakdin.my

Tan Sri Muhyiddin bersama Tan Sri Adenan Satem bersalaman bersama orang ramai ketika melawat SMK Lundu, Sarawak.
Tan Sri Muhyiddin bersama Tan Sri Adenan Satem bersalaman bersama orang ramai ketika melawat SMK Lundu, Sarawak.

LUNDU (Sarawak): Di sebalik isu kenaikan harga barang yang sering dimainkan pembangkang untuk meracuni fikiran rakyat, ramai yang tidak mengetahui Malaysia adalah antara negara yang kerajaannya turut campur tangan mengawal harga barang, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan perdana menteri menegaskan inisiatif kerajaan untuk membantu meringankan bebanan rakyat pun sudah bermula lebih awal lagi sebelum isu harga barang dimainkan, terutama menerusi Akta Kawalan Harga 1946.

“Harga barang tidak boleh ditetapkan oleh kerajaan, harga barang ditentukan oleh permintaan dan bekalan. (Tetapi) sebagai kerajaan yang berkuasa, kita gunakan kebijaksanaan menerusi undang-undang untuk melindungi rakyat daripada terbeban melalui kawalan harga seperti yang dilakukan seminggu menjelang dan seminggu selepas musim perayaan.

“Biarpun begitu pada mulanya tidak mudah untuk kita (kerajaan) dapatkan persetujuan daripada pembekal serta peniaga untuk mematuhi kawalan harga tersebut, mereka berkata kerajaan tidak boleh menentukan harga barangan, rugi kepada mereka semula namun usaha kerajaan dengan minta pertolongan mereka, (yang bermakna) pertolongan kepada rakyat akhirnya membuahkan hasil apabila kawalan harga pada musim perayaan sehingga kini masih dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lundu, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang juga anggota Parlimen Santubong dan Menteri di Pejabat Ketua Menteri (Tugas-tugas Khas) Tan Sri Adenan Satem, anggota Dewan Undangan Negeri Tanjung Datu.

Muhyiddin turut mendedahkan bahawa setiap bulan mesyuarat kabinet akan menerima laporan daripada Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hasan Malek mengenai trend turun naik harga barang.

“Harga turun naik barang dikira menerusi Indeks Harga Pengguna. Berdasarkan laporan tersebut, kita dapat lihat ada barang yang mengalami kenaikan, ada yang turun harga…tetapi bila ada barang turun harga mereka (pembangkang) tidak sebut pula,” katanya.

Muhyiddin berkata melihat kepada apa yang telah dilakukan oleh kerajaan, adalah tidak wajar untuk pembangkang berterusan membangkitkan isu tersebut seolah-olah kerajaan tidak melakukan apa-apa untuk mengurangkan bebanan rakyat.

“Mereka berterusan mempersoal apa kerajan buat? apa kerajaan sudah buat, nama Barisan Nasional (BN) ditukar pula kepada ‘Barang Naik’ dengan pelbagai simbol dan logo…tetapi bila saya turun melakukan tinjauan harga barang mereka ketawakan pula, cakap apa yang boleh dilakukan dengan hanya tinjauan?.

“Mereka hanya pandai bercakap, tetapi apa yang mereka sendiri telah buat untuk bantu rakyat?” soal Muhyiddin.

UTAMAEKONOMIKerajaan Sudah Lama Kawal Harga Barang Di Sebalik Cemuhan Pembangkang - Muhyiddin

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium