Kerajaan terus bela kebajikan ATM – Najib #RamadhanMoments - pakdin.my

najib-berbuka-atm

PORT DICKSON: Kerajaan akan terus membela kebajikan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam segala aspek kerana mereka telah banyak berjasa terutama dalam menjaga keselamatan negara, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, walaupun kerajaan mungkin terpaksa berbelanja lebih dalam hal itu, namun ia adalah perbelanjaan yang berbaloi.

Katanya, jika kebajikan anggota tentera terus dipelihara, maka mereka akan mendapat moral yang tinggi dan lebih bersemangat dalam menjaga keselamatan negara.

“Sebagai sebuah negara yang merdeka lagi berdaulat, salah satu daripada prasyarat dan keperluan kepada negara itu ialah untuk mempunyai sebuah pasukan tentera yang kuat, hebat berdisiplin dan mempunyai jati diri yang mantap.

“Wujudnya pasukan seperti ini adalah benteng kita dan bila kita mempunyai anggota pasukan tentera yang sedemikian rupa maka kita boleh berasa selamat,” katanya semasa berucap pada majlis berbuka puasa bersama warga ATM di Pusat Latihan Asas Tentera Darat, di sini malam ini.

Najib berkata, atas dasar itulah kerajaan sentiasa memandang tinggi keperluan pasukan keselamatan yang perlu dibekalkan dengan pelbagai kemudahan dan kebajikan bagi meningkatkan semangat mereka.

Mengambil contoh mengenai masalah perumahan tentera, Najib berkata ia adalah satu agenda yang belum selesai di mana masih ramai anggota tentera yang tidak menikmati kemudahan itu.

“Di Kem Port Dickson ini pun ada 800 unit rumah lagi yang perlu disediakan dan di Kem Gemas pula keadaannya lebih kritikal sehingga terpaksa menyewa kerana tidak cukup bilangan rumah.

“Inilah satu contoh di mana kita boleh menjaga kebajikan anggota tentera sebab pengorbanan mereka tidak ternilai, tidak boleh kita nilai dengan wang ringgit,” katanya.

Selain aspek keselamatan negara, Najib turut menarik perhatian terhadap pengorbanan anggota ATM menyelamatkan orang awam sewaktu bencana seperti banjir dan gempa bumi.

“Bila ada kecemasan, siapa yang sanggup membawa pesawat helikopter sampai mencecah 10,000 kaki, hampir-hampir puncak Gunung Kinabalu melainkan anggota tentera, kalau ada banjir air deras, sampai bot 40 kuasa kuda pun tidak lepas, siapa sanggup menyelamat nyawa orang awam melainkan anggota tentera,” katanya.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menyampaikan sumbangan RM500,000 untuk Tabung Kebajikan ATM sebelum menunaikan solat Isyak dan Tarawih di Masjid Depot RAMD di sini.

Turut hadir pada majlis itu Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan; dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin serta kira-kira 3,000 warga ATM.

UTAMABERITAKerajaan terus bela kebajikan ATM - Najib #RamadhanMoments

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium