Kes Xavier Justo: Ramai lagi akan didakwa - pakdin.my

Tony-Puah-Justo

Hukuman penjara tiga tahun terhadap Xavier Andre Justo, pakar IT warga Switzerland, bagi kesalahan peras ugut korporat yang diputuskan oleh Mahkamah Jenayah Thailand boleh mencetuskan siasatan dan tindakan mahkamah di Malaysia, Singapura dan United Kingdom.

Justo mengaku salah terhadap pertuduhan mencuri sejumlah besar data korporat daripada bekas majikannya PetroSaudi International, maklumat yang menjadi punca kepada kempen media antarabangsa terhadap kerajaan Malaysia atas dakwaan salah guna kewangan dalam 1Malaysia Development Berhad, dana pelaburan milik negara.

Kalangan peguam dan sumber polis di Bangkok dan Kuala Lumpur berpendapat pengakuan bersalah oleh bekas pekerja PetroSaudi itu akan mendedahkan mereka yang berpotensi terlibat dalam banyak kesalahan, termasuk rasuah, penipuan, keselamatan siber dan jenayah komputer dan pengubahan wang haram.

Pemain-pemain utama yang dikenal pasti dalam kes Justo setakat ini ialah Clare Rewcastle-Brown, pengasas laman web Sarawak Report yang berpangkalan di London dan Tong Kooi Ong, pemilik The Edge Media Group di Malaysia.

Bagaimanapun, siasatan oleh polis Thailand mendedahkan beberapa ahli politik berpengaruh dan tokoh perniagaan telah memainkan peranan penting dalam kempen untuk memburuk-burukkan kerajaan Malaysia pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sumber polis dan kalangan peguam juga berkata pengakuan Justo kepada polis Thailand dan bukti dirampas dari rumahnya di bandar peranginan Koh Samui di Thailand boleh menjadi bukti penting dalam penyiasatan yang sedang dijalankan di Malaysia dan mencetuskan tindakan lain di Singapura dan United Kingdom.

Kerajaan Malaysia telah menggantung penerbitan The Edge dan menyekat akses kepada Sarawak Report.

Polis juga sedang menyiasat Brown, Tong dan CEO The Edge, Ho Kay Tat, berhubung dakwaan bahawa tiga personaliti berkenaan adalah sebahagian daripada konspirasi untuk mengganggu-gugat demokrasi di Malaysia.

Kalangan peguam dan sumber polis berkata Brown dan Tong mungkin telah melanggar Akta Rasuah di UK kerana mereka didakwa telah berkomplot untuk memberi rasuah dan memujuk Justo untuk menjual data korporat yang dicuri.

Mereka juga mungkin telah melanggar Akta Penipuan UK atas dakwaan memperoleh data korporat yang diketahui telah dicuri.

Kalangan peguam dan sumber polis juga berkata Tong, Ho dan Brown mungkin telah melanggar undang-undang di bawah Akta Salah Guna Komputer dan Keselamatansiber Singapura dan kanun keseksaan negara pulau itu atas dakwaan berurusan bagi mendapatkan harta curi dan atas dakwaan membantu dan bersubahat melakukan konspirasi.

Tindakan mereka itu juga mungkin boleh didakwa telah melanggar Akta Jenayah Komputer di Malaysia, manakala di Thailand, Brown, Tong dan Ho boleh dituduh atas dakwaan berurusan mendapatkan harta curi, menurut kalangan peguam dan sumber polis berkenaan.

UTAMAEDITORIAL1MDBKes Xavier Justo: Ramai lagi akan didakwa

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium