Ketagih Internet Melemahkan Generasi Muda - pakdin.my

free-my-internet-singapore

Ketagihan internet kini dianggap satu bentuk ketagihan alaf baharu yang menular pantas di seluruh dunia khususnya dalam kalangan golongan muda.

Isu yang berkait rapat dengan kesihatan mental itu boleh ditafsirkan secara ringkas sebagai, sejenis gangguan psikologi yang menjejaskan kawalan impuls diri sehingga seseorang menjadi terlalu akrab terhadap internet.

Istilah lain yang digunakan ialah pergantungan kepada internet, ketagihan teknologi dan penggunaan komputer patologi.

Isu itu diburukkan lagi dengan kemajuan teknologi telefon bimbit dan pelbagai jenis gajet pintar di pasaran yang menyebabkan ramai pengguna menghabiskan terlalu banyak masa dengan melayari laman sosial atau Social Networking Site (SNS) seperti laman Facebook (Fb), Instagram, WhatsApp, Keek, dan Twitter.

Lebih membimbangkan, statistik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menunjukkan 72 peratus daripada 18.6 juta pengguna internet tempatan adalah golongan muda seawal usia mentah tujuh tahun hingga berusia 35 tahun.

Rata-rata mereka mendapat akses mudah dari rumah, tempat kerja, institusi pengajian tinggi (IPT) atau gajet pintar, selain banyak kemudahan internet yang mudah dan pantas untuk komuniti luar bandar termasuk Pusat Mini Jalur Lebar Komuniti, Pusat Internet 1Malaysia dan Kampung Tanpa Wayar 1Malaysia yang terdapat di seluruh negara.

Namun demikian, masalah ini sebenarnya boleh ditangani melalui program intervensi yang dibimbing oleh para kaunselor.

KESIHATAN MENTAL

Kerjasama penyelidikan antara SKMM dengan sebuah universiti tempatan, Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), mendapati ketagihan SNS berkait rapat dengan kesihatan mental iaitu tekanan perasaan, keresahan dan kemurungan.

Pasukan penyelidik yang diketuai oleh Profesor Madya Dr. Ke Guek Nee turut mendedahkan bahawa 60 peratus daripada keseluruhan responden didapati mengalami simptom keresahan yang berpunca daripada ketagihan SNS.

Beliau yang kini berkhidmat di Heriot-Watt University Malaysia, turut mengesahkan hubungkait antara penggunaan SNS dengan kesihatan mental, iaitu semakin ketagih seseorang itu terhadap SNS, semakin terjejas kesihatan mental mereka.

“Keputusan analisis itu diperoleh daripada soal selidik terhadap 725 pelajar responden dari lapan IPT awam termasuk Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak”, jelasnya.

Bagi beliau ketagihan internet adalah satu isu yang serius dan ramai yang tidak menyedari masalah itu.

“Contohnya, jika seorang pengguna internet tidak dapat menggunakan SNS seperti Whatsapp dalam tempoh, katakan sehari sahaja, mereka akan merasa risau ekoran takut ketinggalan sekaligus menunjukkan simptom masalah kesihatan mental”, tambahnya.

Selain menjejaskan kesihatan mental, beliau turut mengakui tabiat ramai golongan muda yang lebih suka meluangkan banyak masa dengan internet boleh membawa kesan negatif yang lain.

“Ini termasuk tersisih daripada interaksi sosial bersemuka, tabiat makan yang tidak sihat, gangguan tidur, kurang aktiviti fizikal, tumpuan pelajaran atau kerja terjejas, yang akhirnya menjejaskan kesihatan fizikal”, tegas beliau.

POTENSI MUDARAT

Penemuan beliau adalah satu daripada dua kajian IMU yang bertujuan mendapatkan bukti sahih kesan SNS dan penggunaan internet ke atas kesihatan mental remaja Malaysia dan bagaimana media sosial memberi kesan kepada hubungan sosial secara fizikal mereka.

Satu lagi kajian yang dilakukan ialah program intervensi yang melibatkan sukarelawan yang sedar bahawa mereka mempunyai masalah ketagihan, dan bersedia untuk mengatasi masalah itu.

“Program intervensi itu didapati membantu peserta untuk mengawal tekanan perasaan, keresahan dan terutama sekali kemurungan yang dialami akibat daripada ketagihan”, tambah Dr. Ke.

Pendek kata internet memang akan sentiasa dekat dengan kita menyebabkan kita tidak boleh lari dari berdepan dengan kesan negatif yang boleh tercetus ekoran penggunaan SNS secara tidak berhemah seperti dibuli melalui pengguna ‘haters’ dan ‘trolls’, selain boleh menjejaskan keselamatan apabila menjadi mangsa penipu dan pengendap dalam talian.

Justeru, dapat disimpulkan bahawa kajian saintifik membuktikan potensi mudarat yang dibawa melalui penggunaan internet berupaya melemahkan generasi akan datang malah boleh menjejaskan keselamatan diri dan komuniti.

Bimbang dengan potensi mudarat yang dibawa oleh internet terhadap masa depan rakyat, kerajaan melalui SKMM, melipatganda lagi inisiatif bagi mengurangkan impak negatif penggunaan internet melalui program ‘Klik Dengan Bijak’ (KDB) yang lebih proaktif dan positif.

BINA JATI DIRI

Pengarah Kanan Bahagian Jangkauan dan Penglibatan SKMM, Eneng Faridah Iskandar menyedari bahawa isu ketagihan internet tidak terhad kepada pelajar di kawasan bandar yang mempunyai akses mudah kafe siber, Wifi percuma dan seumpama.

“Sebaliknya isu ketagihan dan keselamatan siber ini dibimbangi turut mempengaruhi jiwa pelajar luar bandar yang kini mempunyai akses mudah kepada internet”, kata beliau.

Oleh itu, beliau menekankan kepentingan orang awam untuk menyedari masalah ini dan mengetahui pelbagai cara yang boleh dilakukan bagi mengatasinya.

Ini sekaligus menjadikan sasaran utama program KDB ialah pembinaan jati diri untuk golongan remaja dan kanak-kanak dengan mengguna pendekatan yang ‘cool’ dan menyeronokkan.

“Generasi muda amnya tidak suka ditegur, jadi pendekatan terhadap isu itu perlu dilakukan secara lembut dan sensitif yang lebih sesuai dengan keperluan mereka”, akui Eneng Faridah sambil memainkan beberapa iklan video menarik yang dimuat naik ke dalam akaun FB KDB.

Selari dengan prinsip Rukun Negara, KDB memberi fokus melalui tiga pendekatan utama iaitu mendidik pengguna mengguna internet dengan selamat, mengingatkan pengguna untuk sentiasa berwaspada terhadap semua aspek interaksi online serta memgalakkan penggunaan internet secara positif sahaja.

PANTAU KESELAMATAN

Beliau mengingatkan golongan muda betapa pentingnya untuk tidak mendedahkan maklumat peribadi, tidak berinteraksi dengan orang yang tidak dikenali serta menjaga tingkah laku dan berfikir secara rasional sebelum menaip sesuatu ke dalam internet.

Amnya, KDB membantu mendidik golongan muda untuk mengesan bahaya, membezakan perkara yang betul dan salah, sedar akan akibat yang perlu dihadapi daripada pilihan cara penggunaan internet dan seumpamanya.

“Paling penting peserta program KDB turut dididik dengan cara selamat untuk mendapatkan bantuan jika mereka menghadapi masalah yang berpunca dari penggunaan internet”, tambah beliau.

Apapun, kerajaan hanya mampu mengambil langkah pencegahan dan penguatkuasaan melalui SKMM, sedangkan tugas sebenar untuk menghalang penggunaan internet berlebihan terletak kepada pendekatan asuhan ibu bapa kepada anak mereka.

Justeru Eneng Faridah turut menggalakkan ibu bapa dan penjaga untuk sentiasa memantau penggunaan internet dan SNS anak mereka.

“Program KDB juga membantu ibu bapa memahami isu keselamatan dalam penggunaan internet serta cara mengenalpasti tingkahlaku anak yang mungkin terlibat dalam isu itu”, tambahnya.

PELBAGAI AKTIVITI

Selain aktif dalam laman sosial FB, SKMM mempunyai enam Pejabat Wilayah di seluruh negara yang membolehkan mereka menyampaikan pelbagai aktiviti menarik untuk meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan siber kepada golongan sasaran dengan kerjasama pelbagai pihak.

Melalui kerjasama dengan pihak Jabatan Latihan Khidmat Negara misalnya, mereka telah memasukkan topik keselamatan penggunaan internet ke dalam Modul Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) selain mengadakan ‘Roadshow KDB’ di kem-kem terpilih PLKN.

“Peserta PLKN yang berusia antara 18 hingga 20 tahun adalah golongan sasar terbaik untuk dipupuk dengan keselamatan siber sebelum mereka mula terjebak dengan ketagihan SNS”, jelas Eneng Faridah.

Antara aktiviti itu ialah kempen ‘Be Smart’ hindari jenayah komersial bersama PDRM, perkhemahan tahunan bersama Persatuan Pengakap Malaysia dan kerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dalam menganjurkan sesi latihan dengan pakar luar negara, Wisekids UK serta seminar Pelan Tindakan Kebangsaan Untuk Melindungi Kanak-kanak Dalam Talian.

UTAMAGAYA HIDUPKetagih Internet Melemahkan Generasi Muda

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium