Khalid Akur Keputusan PAS, Mohon Menghadap Sultan Selangor

khalid-tuanku-sultan-selangor

Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akur dengan keputusan PAS yang akhirnya menyatakan pendirian menolak beliau daripada terus kekal sebagai menteri besar Selangor.

Sehubungan itu, Khalid akan menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi memaklumkan mengenai perkembangan terbaharu itu.

“Saya menerima dengan hati terbuka keputusan PAS berkenaan status menteri besar dan barisan exco Selangor.

“Dengan perkembangan terbaharu ini, saya akan memohon menghadap Sultan Selangor untuk memberi nasihat tentang langkah-langkah seterusnya,” katanya menerusi kenyataan pada Ahad.

Khalid berkata demikian sebagai reaksi kepada keputusan Jawatankuasa PAS Pusat yang memutuskan bahawa parti itu mahu kedudukan beliau digantikan.

Mesyuarat pada Ahad itu menyatakan sokongan kepada Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, selain mencadangan calon kedua untuk jawatan sama iaitu Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali.

Perkembangan itu juga menyaksikan Khalid hilang sokongan majoriti di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor apabila kesemua 43 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Rakyat menolak beliau sebagai menteri besar.

Keputusan itu sekaligus menolak pendirian dan sokongan yang dinyatakan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebelum ini mahu Khalid dikekalkan sebagai menteri besar Selangor.

Bagaimanapun Khalid hanya akan menghadap Sultan Selangor selepas 27 Ogos ini setelah baginda pulang ke tanah air.

“Sehingga Tuanku Sultan (Selangor) membuat keputusan muktamad, saya akan meneruskan pentadbiran kerajaan negeri Selangor bersama empat ahli exco daripada PAS.

“Kami akan meneruskan pentadbiran bagi memastikan rakyat tidak terkesan dengan krisis politik ini,” katanya.

Leave a Reply