Kini Orang Ramai Boleh Nikmati Ikan Tuna Pada Harga Berpatutan - pakdin.my

Borneo YellowFin Tuna

Ikan bersalut cili, dibaluti daun pisang dan dibakar menggunakan arang. Namun ikan yang dibakar bukan sebarang ikan.

Tanda harga yang tergantung di gerai berkhemah biru tertera perkataan “IKAN TUNA BAKAR RM6.00”.

Menjual ikan tuna bakar di Pasar Ramadan Setiawangsa adalah antara strategi syarikat Borneo YellowFin Tuna Sdn Bhd, sebuah syarikat Bumiputera, mempromosi ikan itu dalam kalangan masyarakat tempatan khususnya pengguna Melayu.

Borneo YellowFin Tuna 3

“Sejak lapan bulan lepas pihak kami giat mempromosi di samping membuka gerai menjual ikan tuna segar bersirip kuning di TS-04, Pasar Besar Taman Tun Dr Ismail (TTDI).

“Kami juga dari semasa ke semasa membuat promosi makanan menggunakan isi ikan tuna segar, antaranya nasi lemak rendang tuna, bebola ikan, burger, kebab dan salad,” kata Mohamed Hashim Hussein, pengarah pemasaran syarikat itu.

Beliau memberitahu pihaknya juga telah mengemukakan cadangan kepada Pasaraya AEON Big MidValley untuk membantu memasarkan ikan tuna sirip kuning itu.

“Insya-Allah kami berharap lepas hari raya ini, ikan tuna kami boleh dibeli di pasar raya itu,” tambahnya.

Pihaknya juga telah memohon kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk mendapatkan gerai di Medan Selera Setiawangsa bagi menjual pelbagai jenis masakan menggunakan ikan tuna, khasnya ikan tuna bakar.

PROMOSI UNTUK SEMUA RASA

Berbanding di Malaysia, industri ikan tuna sudah lama berkembang di Jepun dan beberapa negara ASEAN seperti Filipina, Thailand, Indonesia dan Singapura.

Tahap kesihatan serta tempoh hayat yang panjang masyarakat Jepun dikaitkan dengan kegemaran mereka menikmati ikan tuna.

“Orang Jepun menggemari ikan tuna bersirip biru yang ditangkap di Lautan Hindi tetapi memandangkan spesies ikan tuna ini semakin berkurangan, mereka sudah boleh menerima ikan tuna bersirip kuning.

“Ini sudah tentunya berita baik buat kami,” kata Mohamed Hashim.

Ikan tuna lazimnya mahal, hingga ada yang mencecah sehingga ratusan ringgit.

Namun dengan usaha Borneo YellowFin Tuna memasarkan ikan tuna bersirip kuning di pasaran tempatan, ikan ini boleh dibeli pada harga yang berpatutan setanding dengan harga ikan merah, kerapu dan tenggiri.

Pada peringkat promosi sekarang, ikan tuna bersirip kuning berkualiti tinggi ini dijual dengan harga antara RM30 dan RM59 sekilo.

“Kami mahu semua peringkat masyarakat di negara ini dapat menikmati ikan tuna segar ini yang mengandungi zat Omega-3 yang banyak kebaikannya, antaranya baik untuk kesihatan jantung dan mengurangkan kemurungan,” kata Mohamed Hashim.

NELAYAN IKAN TUNA

Borneo YellowFin Tuna 2

Ikan tuna bersirip kuning ini ditangkap di bahagian Malaysia Laut Sulawesi berhampiran kepulauan Mabul, Sipadan dan Semporna di timur Sabah.

Menurut Mohamed Hashim, pihaknya menggunakan Pulau Mabul sebagai pelabuhan singgah dengan hampir 99 peratus penduduknya terlibat dalam penangkapan ikan.

Jarak Pulau Mabul dari bandar Semporna adalah kira-kira satu jam perjalanan dengan bot dan ia juga berhampiran pulau peranginan tersohor, Pulau Sipadan.

“Kira-kira 400 keluarga di Pulau Mabul ini bergantung hidup kepada penangkapan ikan tuna sirip kuning ini.

“Di samping menangkap sendiri ikan tuna ini, kami juga membeli hasil tangkapan ikan tuna nelayan-nelayan di perairan Pulau Mabul,” kata Mohamed Hashim.

Menurut beliau, ikan tuna dibeli daripada nelayan ketika mereka berada di tengah laut lagi.

“Kami bayar tunai. Sebelum kami, nelayan ini menjual kepada pihak lain dan kadangkala mereka lambat menerima bayaran. Dengan cara ini kami turut membantu menjaga kepentingan nelayan di samping memperkenalkan cara yang betul dalam penangkapan dan pemprosesan ikan tuna ini,” katanya.

AWASI CARA PENGENDALIAN

Penangkapan dan pemprosesan ikan tuna ini perlu dilakukan dengan berhati-hati untuk mengekalkan kualiti dan kesegaran isinya.

Mohamed Hashim memberitahu penulis pihaknya banyak menghabiskan masa pada awal penubuhan syarikat meninjau kaedah penangkapan dan pemprosesan ikan tuna di Filipina yang sememangnya sudah lama terlibat dalam industri ikan ini.

Sementara itu, bercakap tentang Pulau Mabul, beliau memberitahu penulis bahawa ikan tuna ini sudah sebati dalam kehidupan nelayan di pulau berkenaan.

Ada yang sudah menjadi nelayan berpuluh-puluh tahun lamanya, cuma mereka masih kurang arif dalam mengendalikan penangkapan dan pemprosesan ikan tuna ini dengan cara yang betul bagi mengawal kualiti.

“Pengendalian ikan tuna sama ada ditangkap sendiri atau yang dibeli daripada nelayan adalah faktor yang kritikal.

“Orang Jepun saya dengar sanggup ceraikan isteri sekiranya isteri mereka membuat kesilapan dalam menyimpan dan memasak ikan tuna. Begitu tinggi penghargaan mereka terhadap ikan tuna ini,” katanya.

KEKAL SEGAR

Ada beberapa langkah yang perlu diambil untuk memastikan kesegaran ikan tuna ini.

Untuk proses penghantaran ke Kuala Lumpur, ikan bersaiz sederhana dipek ke dalam kotak polistirena sementara ikan besar (sehingga 80kg) dipek dalam kotak khas sebelum dibawa ke Tawau untuk diangkut melalui udara ke Kuala Lumpur.

“Untuk mengekalkan kesegaran, kami meletakkan gel ais di dalam dan di atas badan ikan,” kata Mohamed Hashim sambil menambah pihaknya membawa antara 800 kilogram hingga satu tan ikan tuna bersirip kuning ke Kuala Lumpur bagi setiap penghantaran.

Di samping menjual sendiri di Pasar Besar TTDI serta menghantar kepada mereka yang membuat pesanan, syarikat ini juga menjadi pemborong di Pasar Borong Selayang.

“Harapan kami agar dapat memperluaskan jualan ikan tuna ini ke negeri lain seperti Pulau Pinang, Perak, Pahang dan Johor.

“Kami juga merancang untuk membekalkan ikan ini ke medan selera sekitar Kuala Lumpur, Petaling Jaya dan Shah Alam,” kata Mohamed Hashim.

PRIHATIN ALAM SEKITAR

Untuk memastikan kesinambungan bekalan ikan tuna bersirip kuning ini, pihak Borneo YellowFin Tuna mengambil beberapa langkah termasuk akur dengan peraturan pertubuhan bukan kerajaan yang tidak asing lagi World Wide Fund for Nature (WWF).

Menurut Mohamed Hashim, antara langkah itu adalah hanya menangkap ikan tuna bersirip kuning yang beratnya 20kg ke atas yang juga diamalkan di negara-negara jiran seperti Filipina, Thailand dan Indonesia.

“Kami juga memberitahu nelayan yang menjual hasil tangkapan kepada kami supaya hanya menangkap ikan tuna yang menepati syarat saiz itu.

“Ini strategi saling menguntungkan untuk semua dan sumbangan kecil kami untuk memelihara industri tuna negara,” kata Mohamed Hashim sambil menambah ikan tuna sirip kuning yang ditangkap di perairan Pulau Mabul boleh mencecah sehingga 100 kilogram seekor.

UTAMAKini Orang Ramai Boleh Nikmati Ikan Tuna Pada Harga Berpatutan

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium