KITA Akan Dibubarkan, Kata Zaid Ibrahim - pakdin.my

Parti Keadilan Insan Tanah Air (KITA) akan dibubarkan menerusi mesyuarat luar biasa (EGM) yang akan diadakan tidak lama lagi, kata presidennya Datuk Zaid Ibrahim.

Beliau berkata parti itu perlu dibubarkan, “untuk membuang mana-mana dan semua keraguan yang kita sesungguhnya menyokong pembangkang”, khasnya ketika sesetengah anggotanya di Kedah dan Pulau Pinang dengan secara terbuka kritikal mengenai pakatan pembangkang PAS-DAP-PKR.

“Mereka sering melakukannya, yang jelas menunjukkan mereka tidak berminat dalam isu-isu sebenar membabitkan negara dan hanya mahu memalukan dan mencemuh pembangkang,” katanya dalam laman web KITA, partikita.com pada Khamis.

Beliau berkata ideanya menubuhkan sebuah parti politik yang menyokong idea-idea yang sederhana dan progresif serta membawa kesopanan dan ketertiban kepada wacana politik telah gagal.

“Saya belum berjaya membawa masuk jumlah anggota yang secukupnya yang berminat dalam idea demokratik, tadbir urus yang baik dan akauntabiliti di kalangan penjawat awam. Saya belum mampu mendapatkan dana yang mencukupi untuk mengurus aktiviti parti dan kawan-kawan yang telah berjanji membantu tidak berbuat demikian,” kata beliau.

Zaid berkata “minat mendalam media dalam isu yang remeh-temeh yang membabitkan parti itu “juga menunjukkan kesukaran yang akan terus dihadapi parti itu kerana “ada cukup orang di luar sana” yang hanya berminat untuk mengkritik kepimpinannya pada KITA, dan mereka-reka berita untuk mencemuhnya.

“Peribahasa Melayu, ‘jika sesat di penghujung jalan, kembalilah ke pangkal jalan’.

“Kini saya sedar bahawa penubuhan KITA adalah satu kesilapan. Saya harap dapat menyediakan idea-idea alternatf dalam politik dan kepada kepimpinan pembangkang. Ini belum berlaku. Saya telah banyak membuat kesilapan dalam hidup saya tetapi saya tidak tawar hati.”

Bagaimanapun, Zaid berkata beliau sangat yakin bahawa “perubahan akan berlaku untuk kebaikan negara” dan menambah bahawa beliau akan melakukan, lagi dan lagi, dan tidak akan berhenti memberikan khidmat kepada orang ramai.

“Kepada anggota parti yang sebenar-benarnya yang pastinya tidak gembira dengan keputusan ini, saya mohon maaf. Saya hargai sokongan anda dan saya harap anda akan terima keputusan ini, bagi kebaikan yang lebih kepada pembangkang,” kata beliau.

Zaid, bagaimanapun, tidak memberitahu bila EGM itu akan diadakan.

Parti itu yang genap setahun bulan lepas, ditubuhkan selepas Zaid meninggalkan PKR ekoran dakwaan ada penyelewengan dalam pemilihan PKR.

KITA bahagian Melaka dibubarkan pada 11 Jan, dan 60 orang anggotanya memilih menyertai PKR.

UTAMABERITAKITA Akan Dibubarkan, Kata Zaid Ibrahim

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium