Kren tumbang di Masjidilharam: Senarai nahas besar ketika musim haji

mekah-kren-tumbang-kilat

MAKKAH: Tragedi kren tumbang di Masjidilharam pada jam 5 petang Jumaat, waktu Arab Saudi adalah antara insiden malang yang berlaku pada musim haji.

Berikut adalah senarai kemalangan besar yang berlaku pada musim haji.

– 2015

11 September: Sekurang-kurangnya 107 terbunuh dan 238 cedera apabila kren besar tumbang menghempap Masjidil Haram selepas ribut dan hujan lebat.

– 2006

6 Januari: 76 terbunuh apabila sebuah hotel runtuh di Makkah.

12 Januari: 364 jemaah haji terkorban akibat rempuhan ketika melontar di Mina.

– 2005

22 Januari: Tiga jemaah haji terbunuh akibat rempuhan ketika melontar di Mina.

– 2004

1 Februari: 251 orang terbunuh akibat rempuhan ketika melontar di Mina.

– 2003

11 Februari: 14 jemaah haji termasuk enam wanita terbunuh pada hari pertama melontar di Mina.

– 2001

5 Mac: 35 jemaah haji termasuk 23 wanita terbunuh ketika melontar di Mina.

– 1998

9 April: Lebih 118 orang terbunuh dan 180 cedera akibat rempuhan di Mina.

– 1997

15 April: Kebakaran berpunca daripada dapur gas memasak memusnahkan kem penempatan jemaah haji di Mina menyebabkan 343 terbunuh dan 1,500 cedera.

– 1995

7 Mei: Tiga terkorban dan 99 cedera akibat kebakaran di penempatan jemaah haji di Mina.

– 1994

24 Mei: 270 orang terbunuh ketika melontar akibat rempuhan di jamrah. Pihak berkuasa berkata kejadian berpunca daripada kehadiran terlalu ramai jemaah pada ketika itu.

– 1990

2 Julai: 1,426 jemaah haji, sebahagian besarnya dari Asia terbunuh akibat rempuhan dalam terowong di Mina berikutan kerosakan sistem pengudaraan.

– 1989

10 Julai: Serangan di luar Masjidilharam menyebabkan seorang terbunuh dan 16 cedera. Seramai 16 penganut Shiah dari Kuwait didapati bertanggungjawab dan dihukum beberapa minggu kemudian.

– 1987

31 Julai: Pihak keselamatan Saudi mematahkan tunjuk perasaan oleh jemaah haji Iran. Lebih 400 terbunuh termasuk 275 warga Iran.

– 1979

20 November: Beratus-ratus orang menawan Masjidilharam dan menahan tebusan. 153 terbunuh dan 560 cedera akibat pertempuran itu.

– 1975

Disember: Kebakaran akibat letupan tong gas di khemah jemaah haji di Makkah menyebabkan lebih 200 terbunuh.

One Reply to “Kren tumbang di Masjidilharam: Senarai nahas besar ketika musim haji”