Krisis Air Selangor: Kebuntuan Perjanjian Merugikan Semua Pihak – Pakar - pakdin.my

perjanjian-air-selangor

Kebuntuan berhubung perjanjian air antara kerajaan negeri Selangor dan Persekutuan akan merugikan rakyat dan mungkin menghantar isyarat yang salah berhubung usaha untuk meningkatkan ekonomi negara jika isu itu tidak diselesaikan segera.

Presiden Persatuan Air Malaysia, Ir. Syed Mohamad Adnan Mansor Alhabshi berkata kedua-dua pihak harus berunding dan menyelesaikan kemelut ini yang telah berlarutan selama tujuh tahun demi semua pihak yang berkepentingan.

“Ini tidak harus berlaku. Ia akan memberi impak besar kepada semua pihak. Ia melibatkan projek menaik taraf bekalan air, mengurangkan projek air tidak berhasil, kapasiti rawatan air dan projek pembinaan Loji Rawatan Air Langat2.

“Kami juga bimbang mengenai bekalan air yang mungkin menjejaskan pelabur, mereka yang terlibat dalam projek perumahan, projek komersial dan kilang.

“Mereka banyak menanggung kerugian semasa catuan air tahun lepas. Bayangkan, sesetengah daripada mereka mengalami kerugian besar kerana catuan menjejaskan pengeluaran mereka. Sesetengah pelabur telah berpindah di luar Lembah Klang,” kata beliau.

Dilaporkan semalam bahawa kerajaan negeri Selangor memutuskan untuk membatalkan perjanjian penstrukturan air dengan Putrajaya kerana menurut Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali, Kerajaan Persekutuan gagal mematuhi beberapa terma perjanjian yang ditandatangani kedua-dua pihak tahun lepas.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Maximus Ongkili hari ini berkata perjanjian penstrukturan air di Selangur terlupus kerana keengganan kerajaan negeri menangani tiga daripada lapan syarat dalam perjanjian utama dengan kerajaan persekutuan.

Sementara itu, presiden Penyelidikan Air dan Tenaga (Awer), S. Piarapakaran berkata ia merupakan langkah kurang bijak yang akan menyebabkan penangguhan Projek Bekalan Air Langat 2 bagi memenuhi permintaan air yang meningkat setiap tahun.

Piarapakaran yang melahirkan rasa kesal terhadap tindakan menteri besar itu, berkata isu yang dibangkitkan oleh Mohamed Azmin cuma perkara kecil yang boleh diatasi melalui perbincangan dengan Kerajaan Persekutuan.

“Beliau perlu memahami bahawa bekalan air di Selangor hampir menyamai permintaan dan saya percaya jika kita melambatkan untuk menyiapkan projek Langat 2, bagaimana kita akan menghadapi satu lagi krisis air dalam masa terdekat?.

“Politik tolak ke tepi, lihat kepada kebaikan yang lebih besar, isu yang dibangkitkan dalam kenyataan menteri besar hari ini boleh diselesaikan, hanya duduk bersama dan berbincang untuk mencari penyelesaian yang lebih baik,” kata Piarapakaran.

Sementara itu, Presiden Persatuan Air Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya Aldric Loong Kim Yew juga melahirkan rasa tidak setuju terhadap keputusan Mohamed Azmin.

Beliau meramalkan bahawa pembatalan perjanjian itu akan memburukkan lagi masalah air di Lembah Klang.

Loong berkata lebih 10 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah lama berusaha keras dan menyuarakan dengan lantang supaya isu air di Lembah Klang ditangani untuk melihat penyelesaian yang positif.

“Bertahun-tahun kami menggesa kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Selangor duduk semeja bagi mencari penyelesaian jangka panjang berhubung isu air, dan apabila kedua-dua pihak bersetuju untuk melaksanakan Langat 2, ia satu rahmat.

“Bekalan air Selangor tidak mampu memenuhi permintaan yang meningkat dengan ketara, dan beliau (Mohamed Azmin) perlu tahu bahawa pertumbuhan ekonomi dan penduduk Selangor meningkat 3 peratus setiap tahun,” kata Loong.

Projek Bekalan Air Langat 2 adalah sebahagian daripada Skim Penyaluran Air Mentah Pahang-Selangor kerana air mentah akan disalurkan ke Langat 2 dari Sungai Semantan di Pahang melalui terowong pemindahan apabila air akan dirawat dan disalurkan ke Lembah Klang.

Ia merupakan komponen utama Skim Penyaluran Air Mentah dari Pahang ke Selangor untuk merawat 2,260 juta liter air mentah sehari yang disalurkan dari Sungai Semantan di Pahang ke Sungai Langat untuk memenuhi permintaan bekalan air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya sehingga 2025.

Projek Langat 2, yang menelan belanja kira-kira RM3 bilion, dijangka siap sepenuhnya menjelang 30 April 2017.

UTAMAPOLITIKKrisis Air Selangor: Kebuntuan Perjanjian Merugikan Semua Pihak - Pakar

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium