Langkah-langkah Keselamatan Telah Diambil Sebelum Misi Bantuan Ke Somalia – Anifah - pakdin.my

PETALING JAYA, 4 Sept  — Kementerian Luar telah menghantar Duta Besar Malaysia ke Libya Datuk Zulkifli Yaacob ke Somalia untuk meninjau langkah-langkah keselamatan di negara itu sebelum misi bantuan kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia ke sana, kata menteri berkenaan Datuk Seri Anifah Aman.

Anifah berkata Zukifli ke Somalia bagi membuat kerja-kerja lapangan dan penilaian yang diperlukan untuk misi berkenaan.

“Kita hendaklah pastikan bahawa negara yang kita akan pergi, diberikan perlindungan yang secukupnya dan memuaskan, di mana mereka telah lakukan, tetapi ini adalah sesuatu yang tidak dijangkakan,” katanya kepada pemberita selepas menyambut ketibaan jenazah jurukamera BernamaTV Noramfaizul Mohd Nor dari Mogadishu di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Subang dekat sini Ahad.

Noramfaizul, 39, terkorban di Somalia pada Jumaat lepas setelah terkena tembakan curi ketika dalam perjalanan pulang ke tempat penginapan dengan menaiki pacuan empat roda dari memberikan bantuan kepada mangsa kemarau dan kebuluran oleh Misi Bantuan Kemanusiaan Putra 1Malaysia. Tembakan itu terkena di bahu Allahyarham dan menusuk ke paru-parunya.

Anifah berkata Wisma Putra pada lazimnya membantu misi bantuan kemanusiaan tempatan menjalankan kerja-kerja lapangan dan penilaian keselamatan di negara yang akan dikunjungi.

Sungguhpun kedutaan Malaysia di luar negara tidak diwajibkan untuk mengemukakan laporan kepada kementerian, ia bagaimanapun pada lazimnya akan mengemukakan butir-butir penilaian berkenaan kepada kementerian, kata beliau.

“Setelah mendapati semua maklumat, kita akan membantu dalam mendapatkan bantuan dari negara-negara yang mahu dituju (oleh misi kemanusiaan).

“Kita akan berbincang dengan mereka (penganjur misi), sama ada negara tersebut selamat atau tidak, dan apa jenis perlindungan yang dapat diberikan untuk mereka. Kita akan bantu mereka sebaik mungkin,” katanya.

Beliau berkata bagaimanapun keputusan untuk meneruskan sebarang misi bergantung pada penganjur kerana mereka sepatutnya menyedari tentang risiko yang akan dihadapi.

Di zon bergolak, apa-apa boleh berlaku, walaupun perlindungan diambil, tambah beliau.

Anifah juga berharap agar kerajaan Somalia, yang berjanji untuk menjalankan siasatan menyeluruh mengenai kejadan itu, akan memberikan laporan kepada beliau secepat mungkin.

Sementara itu, Ketua operasi TUDM Leftenan Kolonel Zahani Zainal Abidin yang menerbangkan pesawat C-103 untuk membawa pasukan misi kemanusiaan itu ke Malaysia berkata keadaan keselamatan yang tidak stabil di Somalia menyebabkan usaha menghantar dan membawa pulang anggota misi itu perlu dilakukan dengan segera.

Beliau berkata usaha membawa keluar pasukan misi kemanusiaan itu bersama jenazah Noramfaizul dilakukan tanpa mematikan enjin kapal terbang bagi memastikan dapat keluar dari negara itu secepat mungkin.

” Dalam masa 30 minit kita telah dapat membawa naik jenazah Allahyarham ke dalam keranda sementara, berserta pasukan misi kemanusiaan dan menerbangkan mereka ke Pulau Seychelles,” katanya kepada pemberita.

Katanya sebaik menerima berita kematian Noramfaizul, mereka sedang berada di Pulau Seychelles, dan segera membuat persiapan bagi membawa pulang jenazah dengan menyewa keranda sementara untuk dibawa ke Mogadishu.

Di Pulau Seycelles, jenazah telah diletakkan ke dalam keranda yang ditutup rapi untuk dibawa pulang, katanya.

Zahani berkata pasukan operasi penerbangan TUDM itu terdiri daripada 25 anggota yang merangkumi dua set krew penerbangan, satu set krew penyelenggaraan serta pasukan keselamatan.

Beliau berkata memandangkan mereka melakukan penerbangan dan pendaratan di zon konflik, mereka tidak boleh mengambil risiko yang sama seperti di tempat-tempat bencana lain yang pernah mereka lawati.

Perancangan awal yang dibuat berdasarkan maklumat perisikan adalah menurunkan anggota misi bantuan di Mogadishu dan kemudiannya berundur ke tempat yang lebih selamat, dan “dalam misi ini kita duduk di Seychelles kerana ada bantuan penyelenggraan di sana,” katanya.

” Semasa di Mogadishu kita kurangkan waktu berada di darat. Bila kita mendarat kita hanya buka ramp pintu dan membenarkan semua keluar. Kita tak matikan enjin sebab takut berlaku kerosakan dan kita akan ada masalah,” katanya.

Beliau berkata mereka juga tidak akan memasuki ruang udara negara berkenaan pada waktu malam kerana masalah navigasi, selain tidak akan mengisi minyak serta meletakkan pesawat di sana.

Ditanya tentang suasana dalam pesawat, Zahani berkata: “Mood pergi mereka semua agak ceria. Bila balik dengan adanya jenazah, mood agak rendah tapi moral masih tinggi.”

UTAMABERITALangkah-langkah Keselamatan Telah Diambil Sebelum Misi Bantuan Ke Somalia - Anifah

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium