Lapor penemuan MH370 atas rasa tanggungjawab – Jamil Omar

MH370-tawi-tawi

SANDAKAN: Rasa tanggung jawab menyampaikan berita mengenai penemuan bangkai pesawat dengan bendera Malaysia di sebuah pulau di selatan Filipina, mendorong Jamil Omar, 46, membuat laporan polis, semalam.‎

Jamil berkata, dia berasa ‘terpanggil’ untuk menyampaikan maklumat berkenaan kepada polis sebaik mendengar cerita mengenai penemuan itu menerusi ibu saudaranya, Siti Kayam Kisung, 57, Khamis lalu.‎

Katanya, sama ada laporan itu benar atau sebaliknya, dia menyerahkan perkara itu kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.‎

“Sebaik dengar dakwaan itu, saya mengambil keputusan membuat laporan polis kerana ia menjadi tanggungjawab saya sebagai rakyat Malaysia.‎

“Tambahan lagi, tiada kejadian pesawat lain di dunia yang dilaporkan hilang selain MH370 dan ini menguatkan keinginan saya untuk sampaikan maklumat itu,” katanya ‎ketika ditemui ‎rumahnya di Kampung TB Ward, Batu 2 di sini, pagi tadi.

Menceritakan lebih lanjut, Jamil yang turut ditemani Siti Kayam, berkata ibu saudaranya itu yang berasal dari Pulau Tabawan, selatan Filipina datang ke Sabah, Khamis lalu dengan membawa bendera Malaysia yang didakwa ditemui ahli keluarga mereka di Pulau Sugbay, kepulauan Tawi-Tawi.‎

Katanya, bendera itu kononnya ditemui dalam bangkai pesawat oleh penduduk pulau itu yang memburu burung.‎ “Saya kemudian bawa bendera itu ke balai polis bersama tiga keping gambar pulau untuk dijadikan bukti,” katanya.‎

Sementara itu, Siti Kayam mendakwa dia mengetahui cerita mengenai dakwaan penemuan bangkai pesawat itu ketika melawat ahli keluarga di Pulau Sugbay pada September lalu.

“Mereka tidak kenal bendera Malaysia dan tidak tahu apa-apa mengenai pesawat yang hilang sebab tempat terpencil, tiada komunikasi,” katanya yang bagaimanapun menyatakan tiada penduduk mengambil gambar bangkai pesawat berkenaan.

Semalam, polis Sabah mengesahkan menerima laporan menerima berhubung perkara itu dan menyiasat kesahihannya.

Laporan itu menyatakan penduduk dapat mendekati bangkai pesawat itu dan melihat rangka manusia di bahagian tempat duduk dan masih memakai tali pinggang keledar.

2 Replies to “Lapor penemuan MH370 atas rasa tanggungjawab – Jamil Omar

Leave a Reply