Lebih 90 peratus undang-undang ikut syariah - pakdin.my

Tun Abdul Hamid MohamadKUALA LUMPUR  – Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad percaya sekiranya Malaysia melaksanakan undang- undang Islam sepenuhnya, lebih daripada 90 peratus undang- undang sedia ada tidak akan berubah.

Beliau berkata, hal tersebut berdasarkan tindakan yang dilakukan oleh kerajaan terhadap usaha-usaha pengukuhan nilai-nilai keislaman.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan masyarakat Melayu di negara ini supaya berhenti daripada asyik berbahas untuk menentukan Malaysia adalah sebuah negara Islam atau sekular.

Malah, katanya, persoalan sama ada Malaysia sebuah negara Islam atau sekular sebenarnya tidak perlu diperbincangkan kerana dalam Perkara 3(1) Perlembagaan jelas memperuntukkan Islam adalah agama Persekutuan.

Keadaan itu membolehkan masyarakat Islam di negara ini melakukan pelbagai aktiviti keislaman menggunakan dana awam termasuk membina institusi pengajian tinggi, masjid, sekolah agama, menubuhkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam, menganjurkan tilawah al-Quran dan sebagainya.

“Semua ini dilakukan atas dasar bahawa Islam adalah agama bagi Malaysia dan orang bukan Islam pun tidak berani membantahnya. Jika mereka membantah, bantahan mereka boleh ditolak dengan mudah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Islam dan Tafsiran Keperlembagaan Oleh Mahkamah Di Malaysia’ dalam Muzakarah Pakar Malaysia : Kemelut Negara Islam Negara Sekular anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) di sini hari ini.

Jelas Abdul Hamid, penggunaan perkataan sekular itu tidak tepat dan tidak sepatutnya digunakan. Menurut beliau, perkara tersebut timbul apabila ramai pihak merujuk kepada kes Che Omar Che Soh menentang pendakwa raya pada 1988 sebagai autoriti bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular.

“Dalam penghakiman itu, hakim mengatakan bahawa Perkara 162 mengekalkan kesinambungan undang-undang sekular sebelum Perlembagaan. Adakah Mahkamah Agung menyatakan bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular? Jawapannya tidak dan bukan itu persoalan yang perlu diputuskan oleh mahkamah,” katanya.

Menurut beliau, perhatian tidak diberikan kepada pengisytiharan bahawa Islam adalah agama bagi Persekutuan sedangkan agama-agama lain tidak disebut.

“Perhatian tidak diberi bahawa adanya peruntukan-peruntukan mengenai ketua agama Islam yang tidak ada bagi agama-agama lain. Perhatian tidak diberi bahawa terdapat peruntukan yang melarang pengembangan agama-agama dalam kalangan orang Islam.

“Perhatian juga tidak diberi bahawa terdapat peruntukan mengenai pemberian bidang kuasa kepada Badan Perundangan Negeri mengenai undang-undang Islam termasuk penubuhan Mahkamah Syariah, penubuhan dan pengurusan institusi-institusi Islam seperti Baitulmal dan wakaf, yang semuanya tidak diperuntukkan kepada agama-agama lain. Adakah ini semua peruntukan sekular,” ujarnya.

Menurut beliau, Perkara 3(1) bukan satu peruntukkan sia-sia kerana sekurang-kurangnya Malaysia kini dikenali sebagai sebuah negara Islam dan dianggap contoh negara Islam di zaman ini.

“Disebabkan kepentingan politik oleh pihak-pihak tertentu, ia kerap dipetik di luar konteks bagi menyatakan bahawa Malaysia adalah sebuah negara sekular sedangkan dalam perlembagaan persekutuan sendiri tidak pernah mengguna pakai perkataan tersebut,” katanya.

UTAMAGAYA HIDUPAGAMALebih 90 peratus undang-undang ikut syariah

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium