Liwat II: Pakatan, PKR Tempang Tanpa Anwar – Penganalisis - pakdin.my

macai-anwar-sayu-dengar-keputusan-liwat

Selepas Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim disabitkan tuduhan meliwat dan dihukum penjara, sudah pasti perhatian kini tertumpu ke arah kerjasama dengan dua sekutu parti pakatan – DAP dan PAS – yang dibentuk sejak 2008.

Apa tidaknya, dalam masa DAP dan PAS bertelagah mengenai prinsip perjuangan parti masing-masing, ketiadaan Anwar yang selama ini dilihat sebagai individu penting yang mampu mengikat hubungan antara dua parti itu sudah pasti memberi kesan besar terhadap hubungan kerjasama mereka.

Beberapa penganalisis politik berpendapat tanpa Anggota Parlimen Permatang Pauh itu, pakatan PAS, DAP dan PKR akan menghadapi masa sukar khususnya dalam meraih sokongan pada pilihan raya umum akan datang.

Mereka juga berpendapat pakatan pembangkang kini boleh diibaratkan seperti ‘tempang’ memandangkan sebelum ini hala tuju pakatan itu banyak dicorakkan oleh Anwar.

HALUAN DAP DAN PAS

Bagaimanakah hubungan DAP dan PAS dalam gabungan pakatan tanpa Anwar?

Pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia Profesor Madya Datuk Dr Shamsul Adabi Mamat berpandangan, titik perpecahan yang telah pun berlaku di antara PAS dan DAP akan menjadi lebih parah selepas ketiadaan Anwar.

Katanya ketiadaan Anwar yang selama ini berperanan sebagai ‘orang tengah’ dan sumber kekuatan yang menyatukan hubungan kerjasama tiga parti itu akan menyaksikan pakatan pembangkang kehilangan pengaruhnya dalam landskap politik tanah air.

“Momentum yang dibawa oleh Anwar, yang selama ini yakin bahawa pakatan mampu menawan Putrajaya, akan berkurangan kerana sentuhan secara langsung tidak lagi dapat dirasai oleh ketiga-tiga parti,” katanya.

Beliau juga berpandangan bahawa PAS akan sentiasa menjadi ‘isu hangat’ dan parti belasahan dalam pakatan kerana perbezaan ideologi parti.

“Pada masa ini, PAS mampu duduk di dalam pakatan kerana faktor Anwar dan keadaan parti yang sering menjadi ‘isu hangat’ dalam pakatan akan memungkinkan PAS keluar daripada gabungan itu,” katanya.

SIAPA YANG LAYAK TERAJUI PAKATAN?

Kini timbul persoalan siapakah yang layak memainkan peranan seperti yang dilakukan oleh Anwar?

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Dr Ahmad Atory Hussain berkata berkemungkinan besar peranan itu diambil alih oleh isteri Anwar, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Presiden PKR untuk satu tempoh masa yang pendek.

“Buat masa ini meskipun Pakatan Rakyat belum memutuskan siapakah pengganti Anwar, saya nampak tempatnya akan diganti oleh Wan Azizah tetapi untuk tempoh masa yang pendek. Calon lain saya nampak, mungkin Mohamed Azmin Ali (Timbalan Presiden PKR)…antara orang yang boleh menggantikan Anwar,” katanya.

Pandangan serupa juga dikongsi Shamsul Adabi yang menyifatkan peranan sebagai Ketua Umum PKR dan orang tengah kepada hubungan kerjasama politik antara PAS dan DAP akan lebih didominasi oleh anggota keluarga Anwar.

“Mungkin Wan Azizah atau pun Nurul Izzah yang akan mengambil alih peranan Anwar,” katanya.

TIDAK BERLAKU REFORMASI

Kehadiran pemimpin pembangkang dan penyokong Anwar, bersama kain rentang di pekarangan Istana Kehakiman hari ini masih lagi mendendangkan laungan reformasi.

Apakah keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini akan membangkitkan semangat reformasi seperti yang pernah berlaku pada 1998?

Ahmad Atory berpendapat keputusan itu tidak akan mencetuskan gelombang reformasi.

Beliau berkata kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang responsif dan peka terhadap permasalahan rakyat, mereka juga semakin muak dengan kes yang berlarutan begitu lama.

“Kalau ada pun mungkin yang buat (perhimpunan reformasi) itu penyokong tegar Anwar…tetapi saya merasakan majoriti rakyat di negara ini faham dengan apa yang dilakukan kerajaan bagi memenuhi tuntutan mereka.

“Jadi untuk apa mereka melakukan reformasi? Mereka mahu Akta Keselamatan Dalam Negeri dimansuhkan, ia sudah dilaksanakan kerajaan, mereka mahu ekonomi dimantapkan, kerajaan telah melaksanakan Program Transformasi Ekonomi dan mereka mahu rasuah dihapuskan, Institut Integriti dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah diperkasakan. Jadi tidak ada apa yang tidak dilaksanakan kerajaan,” katanya.

Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan Anwar bersalah atas tuduhan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, tujuh tahun lalu.

Mahkamah Persekutuan juga mengekalkan hukuman penjara lima tahun ke atas Anwar.

UTAMABERITALiwat II: Pakatan, PKR Tempang Tanpa Anwar - Penganalisis

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium