Lompat parti kerana kekayaan Shafie Apdal – Ketua DAP Sarawak

Ketua DAP Sarawak, Chong Chieng Jen menyelar bekas rakan-rakan seangkatannya di Sabah yang keluar dari parti untuk menyertai parti berasaskan tempatan.

Chong berkata, hujah berbuat demikian kerana hanya ‘parti tempatan boleh mempertahankan hak tempatan’ hanyalah alasan.

Sebaliknya, beliau mendakwa sebab sebenar mereka ‘melompat’ berkait dengan kekayaan yang dimiliki oleh bekas naib presiden Umno, Datuk Mohd Shafie Apdal.

“Sekarang, ekoran kekayaan Shafie Apdal, ramai ahli politik telah meraih manfaat dan meninggalkan agenda sebenar ideologi politik dan pembaharuan.

“Ini adalah ciri-ciri katak politik,” kata Chong dalam kenyataan, hari ini.

“Bagi mereka yang telah keluar DAP dan PKR atas alasan sentimen ‘parti tempatan’, komen saya adalah mereka adalah ahli politik oportunis,” katanya dalam kenyataan berbahasa Inggeris.

Baru-baru ini, Pengerusi PKR Sabah Datuk Lajim Ukin mengumumkan keluar dari parti itu bersama dua ahli Dewan Undangan Negeri Sabah, Terrence Siambun (PKR) serta Junz Wong (DAP).

Siambun adalah ADUN Moyog manakala Wong mewakili DUN Likas.

Kata Lajim keputusan itu dibuat dengan rasa berat hati selepas kira-kira tiga tahun memimpin PKR di Sabah.

Berucap di sebuah majlis di Kota Kinabalu Lajim berkata sudah tiba masanya untuk rakyat Sabah bersatu di bawah parti tempatan.

“Walaupun kita dianggap sebagai sebuah rumah kecil, tetapi kita berkuasa untuk membesarkan rumah itu.

“Kita juga berkuasa sendiri, tidak perlu lagi meminta kebenaran daripada orang lain. Itulah suara rakyat Sabah sekarang,” katanya.

lompat-parti-kerana-kekayaan-shafie apdal

39 Replies to “Lompat parti kerana kekayaan Shafie Apdal – Ketua DAP Sarawak

Leave a Reply