Mahathir suka ‘alih tiang gol’ dalam cubaan jatuhkan Najib - pakdin.my

umno hisham

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sering memberi ramalan dan fakta yang berbeza-beza dalam usaha menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya beliau meletakkan jawatan selaku pemimpin nombor satu negara.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussien berkata perilaku Dr Mahathir itu seolah seperti sering mengalih ‘tiang gol’ kerana ‘sepakan’ beliau belum beroleh jaringan gol kemenangan sehingga menyebabkan Najib berundur.

“Tun Dr Mahathir tiap-tiap minggu alih tiang gol apabila ramalan-ramalan yang dibuat sebelum ini tidak menjadi,” kata Hishammuddin ketika dihubungi.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Dr Mahathir semalam bahawa hanya dengan peletakan jawatan Najib sahaja nilai ringgit negara akan kembali pulih berikutan mata wang negara mengalami kejatuhan terburuk ketika ini.

Malah Dr Mahathir dalam sesi dialog “Kembalikan Maruah Perjuangan Bangsa” di Hotel De Palma, Ampang semalam turut mendakwa Najib enggan berundur sebagai perdana menteri kerana bimbang akan dipenjara disebabkan terpalit dengan pelbagai skandal.

“Kalau dia (Najib) undur, dia tidak ada kuasa, kemudian bila siasatan dibuat dia akan ke penjara,” kata Dr Mahathir.

Justeru Hishammuddin yang juga Naib Presiden UMNO berkata adalah lebih baik UMNO dan pemimpin di negara ini memberi perhatian kepada usaha kerajaan dalam memulihkan kembali ekonomi negara berbanding mengambil berat soal tuduhan tidak berasas yang dibuat pembangkang dan Dr Mahathir.

“Maka saya rasa lebih baik kita termasuk Najib untuk melihat lebih jauh ke hadapan dan memberi fokus kepada perkara-perkara yg membina daripada menghabiskan masa untuk menjawab pelbagai tuduhan-tuduhan yang tidak habis-habis,” katanya.

UTAMAEDITORIAL1MDBMahathir suka ‘alih tiang gol’ dalam cubaan jatuhkan Najib

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium