MAHATHIR TAK SAMA DENGAN KU LI, MUSA HITAM, KATA AZIZ KAPRAWI @AKaprawi

Mahathir Mohamad tidak perlu membandingkan dirinya dengan 2 pemimpin yang meninggalkan Umno pada tahun 80-an, kata ahli Majlis Tertinggi Umno.

Datuk Abdul Aziz Kaprawi memberitahu FMT, ini kerana bekas menteri kewangan Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah atau lebih dikenali dengan nama Ku Li dan bekas timbalan perdana menteri, Tun Musa Hitam tidak pernah memegang jawatan yang didambakan, perdana menteri dan presiden Umno sebelum ini.

“Tetapi, Mahathir pernah menjadi presiden Umno dan perdana menteri. Kami ahli Umno menyokong sepenuhnya beliau sebagai nombor satu selama 22 tahun.

“Dan sekarang apabila tidak berkuasa, beliau sedang bekerjasama dengan pembangkang untuk menjatuhkan Umno.

“Kami (Umno) tidak boleh menerimanya,” katanya.

Aziz berkata demikian ketika mengulas kenyataan Mahathir yang mempersoalkan mengapa beliau sahaja dilabel sebagai pengkhianat kerana bekerjasama dengan pembangkang sedangkan terdapat pemimpin Umno melakukan perkara sama.

Timbalan menteri pengangkutan itu juga mengingatkan Mahathir pernah menggambarkan DAP sebagai cauvinis dan parti perkauman semasa beliau menjadi perdana menteri.

“Itulah sebabnya kita memanggilnya pengkhianat,” katanya.

Aziz mengingatkan selama Mahathir menjadi presiden Umno, beliau mengajar tentang kepentingan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada presiden parti.

“Presiden adalah sebuah institusi. Oleh itu, sesiapa sahaja menjadi presiden, ahli parti mesti setia kepadanya. Itulah prinsip Umno.

“Malah semasa beliau menjadi presiden parti, semua orang menyatakan sokongan mereka kepadanya.”

Beliau juga menyifatkan Mahathir sebagai pemimpin “gila kuasa”.

“Sejak awal penglibatannya dalam politik, beliau gila kuasa. Sepanjang tempoh perkhidmatan beliau sebagai timbalan perdana menteri, beliau meletakkan banyak tekanan ke atas Tun Hussein Onn, yang merupakan perdana menteri pada masa itu.

“Kemudian semasa beliau menjadi perdana menteri, beliau membuang ramai timbalannya yang mempunyai potensi. Beliau mahu menuntut semula kuasa dengan mensabotaj bakal pengganti.”

Aziz juga menceritakan semasa zaman pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai perdana menteri, di mana Mahathir bertungkus-lumus memberi tekanan kepadannya untuk berundur.

“Apabila Abdullah tidak mahu mematuhi nasihat, beliau memberi tekanan dan berjaya mengeluarkannya.

“Dan sekarang, apabila (Perdana Menteri) Datuk Seri Najib Razak tidak mahu tunduk kepadanya, beliau cuba menjatuhkan Najib. Apabila Mahathir tidak dapat menurunkan Najib dari dalam Umno, beliau cuba melakukannya dengan pembangkang.

“Orang-orang Umno tidak boleh menerima anda (Mahathir) sebagai negarawan, menjadi pengkhianat kepada parti anda sendiri.”

 20161205-aziz-kaprawi-mahathir

10 Replies to “MAHATHIR TAK SAMA DENGAN KU LI, MUSA HITAM, KATA AZIZ KAPRAWI @AKaprawi

Leave a Reply