MALAYSIA BOLEH KEKALKAN REPUTASI PASARAN SELAMAT PELABURAN HARTANAH - pakdin.my

SINGAPURA: Malaysia boleh mengekalkan reputasinya sebagai antara pasaran selamat di Asia bagi pelaburan hartanah memandangkan pertumbuhan ekonominya yang kukuh dan tahap ketelusan tinggi, kata REA Group Ltd, syarikat pengiklanan hartanah dalam talian global yang beribu pejabat di Melbourne.

Ketua Ekonomi Kumpulannya Nerida Conisbee dalam satu temu bual berkata para pelabur rata-ratanya menimbang dan mahukan ‘tiga perkara’ apabila melabur di sesebuah negara — pertumbuhan ekonomi kukuh, risiko politik rendah dan tahap ketelusan yang tinggi.

“Risiko politik, (bagaimanapun), terus menjadi sebahagian daripada cabaran di Malaysia,” katanya.

Conisbee diminta untuk mengulas mengenai reputasi Malaysia sebagai satu daripada pasaran selamat bagi pelaburan hartanah.

Beliau berkata pasaran selamat tradisional seperti Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom tidak lagi kelihatan selamat susulan langkah Britain yang mengambil keputusan keluar dari Kesatuan Eropah (Brexit) dan keputusan mengejut dalam pilihan raya presiden AS.

“Ini bermakna bahawa pandangan tradisional apakah pasaran selamat dijangka berubah pada 2017 apabila para pelabur mencari peluang-peluang lain,” kata Conisbee, yang dilantik menyandang jawatan tersebut yang baru diwujudkan di REA Group pada 4 April, 2016.

Oleh kerana Malaysia mempunyai persekitaran kadar faedah rendah, beliau berkata ia akan membantu menarik lebih banyak pembeli asing dalam keadaan prospek ekonomi lemah di peringkat serantau dan global.

“Dana-dana yang disediakan mudah diperoleh, kos pinjaman rendah boleh menjadi faktor menarik pembeli asing.

“Begitu juga, jika sekiranya pertumbuhan ekonomi terus kukuh di Malaysia, ini akan juga menarik pelaburan dari luar negara,” katanya.

Bank Negara Malaysia mengurangkan Kadar Dasar Semalaman sebanyak 25 mata asas kepada 3.0 peratus pada Julai tahun ini.

Langkah itu akan menyaksikan bank-bank mengurangkan kadar berian pinjaman mereka, menjadikannya lebih murah bagi pengguna dan syarikat yang layak untuk mengambil pinjaman.

Mengenai harga hartanah yang mampu milik dan stabil di Malaysia Conisbee berkata penting bagi Malaysia untuk kekal pada harga berpatutan bagi merangsang pertumbuhan ekonomi.

“Tahap mampu milik yang rendah bermakna sukar dan mahal bagi orang untuk tinggal di sesebuah negara yang seterusnya akan membawa kepada kelembapan ekonomi.

“Harga di Malaysia masih agak murah berbanding negara-negara lain ketika ini,” kata Conisbee yang memiliki pengalaman lebih 20 tahun dalam penyelidikan hartanah di seluruh Asia Pasifik.

Ditanya sama ada perlukah Malaysia mencontohi konsep Singapore Housing Development Board (HDB) untuk menyediakan kepada keperluan rakyatnya, terutamanya di kawasan bandar, beliau berkata:

“Singapore HDB berjaya dalam menyediakan pemilikan rumah tahap tinggi dan mampu milik.

“Atas sebab ini, sudah pastinya berbaloi untuk menimbang sistem yang sama seperti ini di Malaysia,” katanya.

Rumah pangsa Singapore HDB dihuni lebih 80 peratus penduduk di Singapura.

REA Group yang tersenarai di Australian Securities Exchange, mengendalikan laman web hartanah kediaman dan komersil serta iProperty Group yang memiliki banyak portal hartanah utama di Asia.

20161228-pasaran-selamat-pelaburan-hartanah

UTAMAEKONOMIMALAYSIA BOLEH KEKALKAN REPUTASI PASARAN SELAMAT PELABURAN HARTANAH

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium