Malaysia Tuntut Penyelesaian Muktamad Untuk Keadilan Palestin – Najib (video) - pakdin.my

PBB, NEW YORK – Datuk Seri Najib Tun Razak mengutuk kezaliman Tel Aviv di wilayah yang diduduki oleh mereka dan menggesa supaya penyelesaian muktamad dicapai bagi mengakhiri ketidakadilan terhadap rakyat Palestin.

Perdana Menteri turut menyentuh ancaman kumpulan militan yang dikenali IS, yang tidak tahu ajaran Islam yang sebenar serta pengalaman sendiri Malaysia dalam membendung ekstremisme militan.

Berucap pada sesi ke-70 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di sini, Khamis, beliau berkata keberanian diperlukan untuk menangani secara berkekalan ketidakadilan terhadap rakyat Palestin yang menderita sejak 1948.

“Berdekad-dekad bebas tanpa hukuman dan penyahmanusiaan secara sistematik terhadap penduduk Palestin telah mendorong kepada peningkatan keganasan, memperluas penempatan haram dan peningkatan pencabulan hak asasi.

“Kekecewaan dan kemarahan dirasai rakyat Palestin turut dirasai umat Islam di seluruh dunia. Jika dunia terus tidak ambil peduli terhadap penderitaan rakyat Palestin, kita berisiko berdepan dengan satu lagi malapetaka di wilayah diduduki rakyat Palestin.

“Kita gagal mendukung hak untuk menentukan nasib sendiri, yang menjadi asas Pertubuhan Bangsa Bersatu semasa diwujudkan 70 tahun lalu,” kata Najib.

Dalam hal ini, memandangkan tindakan Rosh Hashanah mencerobohi Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis dan serangan terhadap jemaah masjid itu tiga minggu lalu, beliau menggesa kerajaan Israel agar mendukung prinsip tertinggi Judaisme dan mesej penting dalam kitab Taurat.

Najib berkata, Israel menggunakan kuasanya secara paksa untuk menguasai tempat ketiga paling suci dalam Islam – sebagai bantahan terhadap bidang kuasa Raja Abdullah dari Jordan, sebagai penjaga sah.

“Oleh itu menjadi kewajipan Israel untuk memudahkan umat Islam dari seluruh dunia menziarahi tempat itu. Ini adalah impian dan doa setiap umat Islam untuk mengunjunginya sekurang-kurangnya sekali dalam hayat mereka,” katanya.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, pertempuran antara jemaah Palestin dan tentera Israel dilaporkan berlaku setiap hari di Majid Al-Aqsa.

Rabu lalu, buat kali pertama dalam sejarah, bendera Palestin dinaikkan di ibu pejabat PBB selepas pihak berkuasa Palestin memperoleh status pemerhati bukan anggota badan dunia itu pada 2012.

UTAMABERITAMalaysia Tuntut Penyelesaian Muktamad Untuk Keadilan Palestin – Najib (video)

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium