Mayat Mangsa terakhir Tragedi Lemas Bukit Beruntung Ditemui - pakdin.my

HULU SELANGOR: Mayat terakhir mangsa yang dihanyutkan arus deras di anak Sungai Selangor di Bukit Beruntung, Selangor kelmarin, Muhammad Aiman Kamarul Ariffin, 12, ditemui pada pukul 1.15 tengah hari tadi.

Mayat Aiman ditemui lebih 2 jam selepas mayat mangsa keenam, Mayat Muhammad Ikhwan Mohd Ridwan, 10, ditemui.

Memetik Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan R. Supramaniam melaporkan, mayat Aiman yang lengkap berpakaian dijumpai orang awam di tebing sungai itu kira-kira 13 kilometer dari lokasi kejadian.

“Mayat mangsa ditemukan di luar skop pencarian 5 kilometer radius,” katanya.

Menurutnya, proses pengecaman identiti mangsa dilakukan oleh abangnya yang berumur 21 tahun dan mayat itu kemudian dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk dibedah siasat.

Terdahulu, pada 10.20 pagi tadi mayat seorang lagi mangsa iaitu Muhammad Ikhwan Mohd Ridwan, 10, ditemukan di tebing sungai kira-kira 3 kilometer dari pusat SAR.

Susulan penemuan mayat terakhir itu, pusat SAR di Kampung Timah, di sini, ditutup pada 2.30 petang.

Sementara itu, difahamkan jenazah Aiman dan Muhammad Ikhwan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Beruntung di sini.

Dalam kejadian kira-kira 5 petang kelmarin, 8 kanak-kanak berusia antara 9 hingga 12 tahun dari kawasan perumahan berdekatan dihanyutkan air pasang besar ketika mereka menangguk ikan di sungai itu.

Seorang daripada mereka selamat manakala 7 lagi ditemukan lemas.

Selain Aiman dan Muhammad Ikhwan, 5 mangsa lain ialah pasangan adik-beradik, Shahrizat Abdullah, 12, dan Shahrizwan, 10; Amirul Hakimi Khairul Amru, 9, Muhammad Iskandar Shah, 12, dan Muhammad Aiman Fitri Md Asmadi, 12.

 

UTAMABERITAMayat Mangsa terakhir Tragedi Lemas Bukit Beruntung Ditemui

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium