MB Selangor akui Unisel tidak mampu bayar hutang JNSB – @Khalid_Ibrahim - pakdin.my

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengakui bahawa Universiti Selangor (Unisel) menanggung hutang sejak sekian lama sehingga menjejaskan kemampuan universiti itu untuk membayar tunggakan kos penyelenggaraan dan operasi asrama kepada syarikat Jana Niaga Sdn Bhd (JNSB).

Beliau berkata walaupun pelajar membayar yuran pengajian, namun masih tidak mencukupi untuk menjelaskan hutang itu kerana perjanjian menetapkan Unisel perlu membayar sewa penuh kepada JNSB walaupun ketika cuti dan penuntut tidak menetap di asrama.

“Kita nak jaga pelajar dan kerajaan sudah maklumkan kepada Unisel supaya menumpukan kepada operasi universiti dan jangan susahkan diri tentang bayaran itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Tadarus dan Tadabbur Perdana Peringkat Selangor di sini hari ini.

Abdul Khalid berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor Datuk Seri Noh Omar semalam bahawa Unisel berhutang hampir RM15 juta kepada JNSB, yang bertanggungjawab membangunkan dan menguruskan kediaman penuntut di kampus induk universiti itu di Bestari Jaya di sini.

Unisel didakwa tidak melunaskan yuran penyelenggaraan untuk 17 bulan dan bayaran asrama yang dikendalikan oleh JNSB bagi tempoh lapan bulan.

Ketika ditanya sama ada kerajaan negeri akan menyelesaikan hutang Unisel kepada JNSB, Abdul Khalid menjawab: “Kalau ikut undang-undang bayarlah. Kalau ada yang JNSB tidak ikut dia kena betulkan balik, itu sahaja.”

Mengulas lanjut, Abdul Khalid berkata pendapatan universiti itu tidak cukup untuk membiayai kos pembinaan asrama yang berjumlah RM200 juta dan kampus yang berjumlah RM600 juta.

Bagaimanapun beliau berkata pendapatan Unisel masih mencukupi untuk membiayai gaji tenaga pengajar serta sistem penjagaan dan pentadbiran asrama.

“Justeru, selepas 2008 kita memutuskan bahawa Unisel tidak perlu lagi dibebankan dengan hutang kerana kerajaan negeri yang akan menyelesaikan hutang kepada bank dan sekarang kita sedang menyediakan dokumen berkenaan untuk diserahkan kepada pihak bank,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Khalid berkata kelewatan pendedahan laporan audit kewangan Unisel disebabkan banyak perkara perlu diperbetulkan oleh kerajaan negeri berikutan laporan itu tidak didedahkan hampir lima tahun.

Abdul Khalid berkata laporan itu perlu dibincangkan dalam mesyuarat agung syarikat yang mana antara pemilik sahamnya ialah Menteri Besar Incorporated.

UTAMABERITAMB Selangor akui Unisel tidak mampu bayar hutang JNSB - @Khalid_Ibrahim

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium