Media Sosial – Ke mana hilangnya akhlak, budi mulia - pakdin.my

media-sosial-peribadi

Hari ini, negara berdepan dengan isu pengurusan maklumat dalam kalangan pengikut laman sosial. Semuanya kerana faktor taksub dan fanatik yang tidak berlandaskan rasional, disulami pula unsur negatif terhadap kepimpinan negara sehingga sanggup menyebarkan maklumat yang belum ditentukan kesahihannya. Maklumat yang disebarkan boleh menjejaskan ketenteraman awam dan memudaratkan demokrasi berparlimen di negara ini. Persoalannya ke mana hilangnya budi pekerti masyarakat kita selama ini ?

Budi dan akhlak merupakan komponen terpenting dalam kehidupan insan. Ini adalah kerana tanpa budi pekerti dan akhlak, umat manusia akan menjadi seumpama haiwan. Keistimewaan manusia adalah kerana akhlaknya. Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak dan budi pekerti yang mulia.” – Riwayat Tirmizi

Firman Allah SWT dalam bentuk gaya bahasa pujian kepada Nabi Muhammad untuk dijadikan ikutan umat Islam sejagat yang bermaksud: “Bahawa sesungguhnya engkau (Muhammad) mempunyai akhlak yang amat mulia.” (Surah al-Qalam : 4).

Akhlak dan budi pekerti mulia merupakan intipati ajaran agama Islam. Mesej ini dinyatakan oleh Nabi Muhammad dalam hadis yang bermaksud:

“Seseorang datang kepada Rasulullah dari arah depan. Lalu dia bertanya, “Wahai Rasulullah, apa agama itu?” Rasulullah menjawab, “Agama itu adalah akhlak yang baik”. Lalu dia mendatangi Rasul dari arah kanannya dan bertanya, “Wahai Rasulullah, apa agama itu?” Rasulullah menjawab, “Agama itu adalah akhlak yang baik”. Kemudian dia mendatangi Rasulullah arah kirinya dan bertanya lagi, “Wahai Rasulullah, apa agama itu?” Rasulullah menjawab, “Agama itu adalah akhlak yang baik.” – Riwayat Muslim.

Ibn Khaldun dalam kitab tersohornya, ‘al-Muqaddimah, al-Insaanu Ibnu al-Baiah’ menyebut bahawa manusia merupakan makhluk yang dipengaruhi oleh persekitarannya. Di sini perlunya diwujudkan suatu persekitaran baik yang merangkumi semua aspek kehidupan sama ada ruang perhubungan baik antara kaum, media cetak yang baik, media elektronik yang baik mahu pun pengikut laman sosial yang baik.

Semua pihak terutamanya pengikut laman sosial perlu mengawal emosi apabila berhadapan dengan sesuatu maklumat dengan mengklasifikasikan maklumat yang diperoleh untuk membezakan mana berita benar, salah, sesuai dengan realiti sebenar atau sebaliknya. Mereka perlu mengetahui maksud tersirat dan tersirat yang ada di sebalik setiap maklumat secara tuntas.

Firman Allah dalam Surah al-Hujurat, ayat 6 bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.”

Al- Quran menggariskan kaedah penyampaian dakwah dengan hikmah dan hujah yang jelas di samping memberi nasihat dengan lembut dan bersopan. Firman Allah yang bermaksud: “Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui akan orang yang sesat daripada jalan-Nya, dan Dialah yang lebih mengetahui akan orang yang mendapat petunjuk.” (Surah al-Nahl :1).

Generasi hari ini adakalanya memandang negatif terhadap nilai-nilai murni dalam kehidupan. Mereka lebih sukakan hiburan yang melalaikan. Mereka condong kepada gaya hidup berorientasikan keseronokan nafsu. Sebaliknya masyarakat perlu berganding bahu dalam menyebarkan ilmu pengetahuan dan mendidik jiwa.

Masyarakat hari ini hanya mementingkan aspek ilmu tanpa memberi penekanan terhadap pendidikan dan pembudayaan nilai-nilai murni dalam kehidupan. Realiti inilah yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad dalam pembentukan generasi awal Islam di kediaman al-Arqam Abi al-Arqam pada zaman permulaan Islam. Hasilnya telah melahirkan generasi sahabat terpuji dan berakhlak mulia seperti Khulafa’ al-Rasyidin, Saad bin Abi Waqas, Bilal bin Rabah, keluarga Ammar bin Yasir dan sebagainya.

Sunah juga merakamkan seorang yang kuat solat dan kuat berpuasa tetapi selalu menyakiti jirannya. Mafhum hadis tersebut :

“Rasulullah ditanya: Wahai Rasulullah, si polan itu siang hari berpuasa, malam hari dia bangun kerana mengerjakan ibadah. Cuma dia ada sedikit cacat. Akhlaknya rosak iaitu menyakiti jirannya dengan lidahnya. Lantas dijawab oleh Rasulullah : Tidak ada kebaikan lagi pada wanita itu bahkan dia adalah menjadi ahli neraka.” – Riwayat Ahmad, Ibnu Hibban dan Hakim.

Hadis ini menggambarkan mengenai seorang yang begitu kuat ibadahnya, cuma dia tidak berakhlak. Dan itu pun hanya satu sahaja akhlaknya yang cacat iaitu lidahnya yang selalu menyakiti jirannya. Walaupun demikian, Rasulullah mengatakan amal ibadahnya yang begitu banyak tidak berharga di sisi Allah. Dia dianggap tidak membuat kebaikan, bahkan menjadi penghuni neraka. Hadis ini memberi pengajaran bahawa seorang ahli ibadah bakal menjadi penghuni neraka kerana tidak berakhlak.

Kita mengharapkan agar masyarakat memiliki kekuatan apabila berhadapan isu sebegini. Semua pihak perlu bertenang dan sewajarnya bersikap rasional. Umat Islam juga perlu mempunyai semangat dan nilai kesederhanaan serta mendokong budi pekerti dalam menangani ancaman penyebaran maklumat terutamanya berita palsu dan fitnah yang berleluasa hari ini. Para pengikut laman sosial juga sewajarnya jangan hilang arah dan fokus, sebaliknya membantu usaha meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat dan memulihkan keyakinan masyarakat menangani masalah persepsi.

Tan Sri Dr Abdullah Md Zin
Utusan.

UTAMAPOLITIKMedia Sosial – Ke mana hilangnya akhlak, budi mulia

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium