Meningkatkan Integriti Pilihan Raya Menggunakan Teknologi

pilihanraya-umum

Di Malaysia, pendaftaran pemilih dan hampir keseluruhan proses pilihan raya berciri insani dengan pelbagai pihak menyalahkan kepincangan sistem pilihan raya itu pada mereka yang terbabit.

Dalam memastikan integriti serta ketelusan yang lebih tinggi pada keseluruhan proses pemilihan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) percaya sistem pengundian elektronik merupakan pilihan terbaik.

Bayangkanlah, identiti pengundi ditentusahkan menggunakan sistem biometrik yang mampu menghalang pengundi hantu, termasuk mereka yang mengundi menggunakan kad pengenalan palsu, atau mereka yang mengundi berbilang kali, satu yang menjadi keluhan parti-parti pembangkang.

Dan dengan sekali klik pada tetikus atau dengan hanya menekan satu butang, di sebalik memangkah kertas undi, pengundi melengkapkan proses mengundi dengan sekelip mata. Serentak dengan itu undi dikira oleh satu sistem berpusat, di sebalik mengira menggunakan tangan selepas pengundian ditutup, dengan itu tiada peluang bagi mana-mana pihak untuk memanipulasi pengiraan undi.

Ini bukan sahaja mempercepat keseluruhan proses pengundian tetapi juga menyumbangkan ke arah pilihan raya yang bersih dan adil, yang nampaknya menjadi ungkapan penarik dalam landskap baru politik Malaysia.

Tetapi, pihak pembangkang yang tidak puas hati dengan sistem pilihan raya itu mendakwa sistem elektronik juga terdedah kepada elemen penyelewengan dan meragui SPR dan usaha-usaha yang diambilnya untuk memperbaharui proses pilihan raya.

TEKNOLOGI BOLEH MEMBANTU

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof memberitahu semasa Simposium Hal Ehwal Pilihan Raya Antarabangsa ke 7 yang berlangsung di sini baru-baru ini bahawa Malaysia perlu menerimapakai teknologi canggih dalam menguruskan rekod pengundi selain menyampaikan maklumat tepat kepada pengundi.

“Selama ini, kita dapat melaksanakannya secara manual oleh kerana bilangan pengundi tidak ramai tetapi bilangan mereka sekarang ini terus meningkat. Jadi bolehkah kita teruskan dengan sistem manual?,” tanya beliau.

Abdul Aziz menunjukkan bahawa Malaysia selama ini mendaftarkan pengundi secara manual menggunakan borang berbanding negara-negara maju yang mendaftarkan pengundi secara elektronik.

Beliau berkata di negara-negara tertentu apabila seseorang mencapai usia 21 tahun, beliau akan didaftarkan sebagai pengundi secara automatik tetapi ini tidak dapat dilaksanakan di sini sehingga ini.

Sekarang ini, negara-negara seperti Itali dan Chile mengamalkan sistem pendaftaran pengundi secara automatik tetapi ini tidak dapat dilaksanakan di Malaysia kerana rasa curiga di kalangan orang ramai serta parti-parti politik, katanya.

MENDAPATKAN SEMULA KEPERCAYAAN DENGAN TEKNOLOGI

Walaupun sistem pengundian elektronik mengurangkan kemungkinan berlakunya manipulasi, Abdul Aziz kesal yang orang ramai dan para pemimpin parti-parti pembangkang di Malaysia yang meragui pelan reformasi sistem pilihan raya SPR.

“Menggunakan peranti-peranti biometrik dan elektronik boleh bantu memperkasa sistem demokrasi tetapi bagaimana untuk melaksanakannya jika orangramai tidak percaya dengan SPR dan berkata proses serta sistem boleh dimanipulasi,” beliau mengeluh.

Sementara itu, ketua Eksekutif Pusat Antarabangsa bagi Kajian Parlimen (ICPS) Matt Gokhool juga percaya bahawa teknologi bukan lagi satu pilihan tetapi satu keperluan dalam pembaharuan proses pilihan raya.

Bagaimanapun, beliau menunjukkan bahawa keraguan kini menjadi isu dengan orang ramai resah yang undi dan keputusan boleh dimanipulasi menggunakan teknologi.

Tetapi, hakikatnya adalah keputusan pilihan raya boleh dimanipulasi walaupun tanpa penggunakan teknologi.

“Oleh itu sentiasa wujud keraguan tetapi apa yang penting adalah untuk memahami teknologi serta ciri-ciri keselamatan dan apabila orang ramai mula membiasakan diri dengan teknologi bagi pembaharuan proses pilihan raya, saya rasa paras keyakinan pasti akan meningkat,” katanya.

Di sebalik kekekangan seumpama ini, Ketua Asia Channel Sales Smartmatic Robert Dobler berkata terdapat enam buah negara yang menggunakan teknologi dalam proses pilihan raya.

Negara-negara itu adalah Brazil, Venezuela, Amerika Syarikat, Belgium, Filipina, India, Mongolia dan Estonia.

“Terdapat banyak kisah kejayaan daripada impak positif yang dibawa menggunakan teknologi dan terdapat banyak negara yang mahu menerimapakai teknologi dalam memperbaharui proses pilihan raya masing-masing,” katanya.

Leave a Reply