Mesir Berminat Kerjasama Dengan Petronas Teroka Peluang Di Afrika - pakdin.my

najib dagang mesirKAHERAH  — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Mesir berminat untuk menjalin kerjasama bagi meneroka peluang mencari gali minyak dan gas di Afrika menerusi kerjasama antara Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dengan Egypt Petroleum Company.

Katanya cadangan itu disuarakan oleh Perdana Menteri Mesir Dr Hesham Mohamed Qandil semasa pertemuan di pejabat rakan sejawatannya itu di sini hari ini.

Cadangan itu akan panjangkan kepada Petronas kelak, katanya pada sidang akhbar pada hari terakhir lawatan kerja tiga harinya ke Mesir yang bermula pada Isnin lepas sebelum berangkat untuk menghadiri Forum Ekonomi Dunia di Davos Switzerland.

“Petronas dipandang tinggi sebagai organisasi syarikat yang berjaya dan menjadi contoh,” katanya.

Najib berkata terdapat beberapa peluang untuk Petronas membida projek mencari gali minyak dan gas, sama ada di darat atau lautan di Mesir.

“Mereka (Mesir) juga berminat supaya Proton dapat bekerjasama dengan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mereka untuk memasang kereta di sini, ada juga disebut dua kawasan zon ekonomi di sekitar Terusan Suez untuk syarikat-syarikat Malaysia melabur,” katanya lagi.

Beliau berkata inilah masa yang sesuai untuk syarikat-syarikat Malaysia mencari peluang perniagaan dan pelaburan di Mesir, iaitu selepas peristiwa “Arab Springs” di mana kerajaan Mesir sedang menyusun semula ekonomi mereka.

Najib juga berkata, pada masa ini, imbangan dagangan antara Malaysia dengan Mesir memberi kelebihan kepada Malaysia di mana eksport Malaysia ke Mesir adalah US$1 billion (RM3.1 bilion) manakala import dari Mesir pula bernilai US$176.1 juta (RM544.1 juta) bagi tempoh Januari hingga November tahun lepas.

Beliau berkata salah satu cara untuk memperbaiki kedudukan imbangan dagangan itu ialah dengan Malaysia mengimport kapas dari Mesir dan kapas di Mesir dianggap terbaik di dunia.

Pada hari ini, Malaysia dan Mesir menandatangani Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif.

Perjanjian itu ditandatangani oleh Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Anifah Aman dan Menteri Pembuatan dan Perniagaan Mesir Hatem Saleh, yang disaksikan oleh Najib dan Hesham.

Objektif utama perjanjian ini ialah untuk mengadakan kerangka bagi meningkatkan kerjasama dua hala di dalam bidang ekonomi dan teknikal serta aliran pelaburan antara kedua-dua negara.

Perjanjian itu meliputi sektor perdagangan dan pelaburan, pembinaan, pembuatan, perkhidmatan kewangan, pelajaran, industri kecil dan sederhana, industri halal, pemborongan dan peruncitan, pengangkutan, teknologi komunikasi dan maklumat, penyiaran dan multimedia, pertanian dan agromakanan, tenaga, sumber mineral, inisiatif kemudahan kastam, dan halangan perdagangan.

Najib juga mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Mesir di bawah pimpinan Mohamed Morsi kerana telah memberikan sokongan dan bantuan bagi menjayakan lawatan ke Gaza Selasa.

Beliau berkata, dalam tempoh enam bulan Morsi memegang tampuk pemerintahan, Presiden baharu Mesir itu telah berjaya meredakan keadaan biar pun masih banyak cabaran yang perlu ditangani.

UTAMAEKONOMIMesir Berminat Kerjasama Dengan Petronas Teroka Peluang Di Afrika

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium