Mohamed Razali terima ugutan bunuh

PULAU PINANG 2 Jun – Ahli DAP Jelutong, Mohamed Razali Abdul Rahman, 42, yang baru-baru ini tampil menjadi saksi mengenai majlis kesyukuran tertutup untuk paderi-paderi di sebuah hotel di Jalan Macalister di sini, membuat laporan polis setelah mendakwa menerima ugutan bunuh.

Ugutan yang ditulis atas sekeping kertas itu ditemui di depan pintu rumahnya di Hilir Sungai Pinang, Jelutong sebaik sahaja beliau pulang ke rumah kira-kira pukul 1.15 petang ini.

Nota berkenaan yang tertulis perkataan ‘Lu Jaga Mati’ ditulis dengan dakwat merah.

Berikutan kejadian itu, Mohamed Razali membuat laporan di Balai Polis Jalan Patani di sini kira-kira pukul 3 petang.

Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi sebelum ini menafikan dakwaan kononnya beliau menganjurkan satu majlis pertemuan paderi-paderi dari seluruh negara yang turut berikrar untuk menjadikan Kristian sebagai agama rasmi Persekutuan sekali gus melantik Perdana Menteri dalam kalangan penganut agama itu.

Menurut wakil rakyat DAP itu, beliau hanya menghadiri majlis kesyukuran yang diadakan secara tertutup untuk paderi-paderi tersebut di sebuah hotel di Jalan Macalister sebagai tetamu.

Bagaimanapun, pada 13 Mei lalu, Mohamed Razali membuat laporan bagi membantu polis melakukan siasatan mengenai penganjuran majlis itu.

Dia berbuat demikian setelah kecewa dengan pembohongan oleh pihak terlibat mengenai majlis berkenaan.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakub ketika dihubungi mengesahkan laporan yang dibuat oleh Mohamed Razali namun enggan mengulas lanjut.

Leave a Reply