Mohd. Shafie jamin terus berbakti

shafie-apdal-hulu-selangor

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal memberi jaminan akan terus berbakti kepada parti itu walaupun tidak lagi menyandang jawatan dalam Kabinet.

Bercakap dalam sidang akhbar pertamanya selepas digugurkan daripada jawatan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Mohd. Shafie menjelaskan, beliau akan terus berjuang untuk memperkasakan parti demi rakyat dan negara.

Beliau juga menyatakan sokongan kepada kepemimpinan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak namun akan tetap menegur sesetengah perkara yang dirasakan memerlukan penjelasan demi manfaat parti serta kerajaan.

“Kita akan sentiasa memberi sokongan jika ia memberikan kebaikan dan demi kepentingan rakyat di peringkat akar umbi. Saya akan turun padang ke bahagian-bahagian UMNO seluruh negara untuk memperkukuhkan parti sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum.

“Saya juga mempunyai banyak masa untuk mendampingi ahli UMNO di bahagian dan melihat semula daftar pemilih bagi memastikan bilangan ahli dapat bertambah,” katanya.

Beliau sebelum itu menyempurnakan Perasmian Serentak Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Hulu Selangor di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Mat Nadzari Ahmad Dahlan.

Sementara itu, Mohd. Shafie meminta semua ahli UMNO supaya kekal fokus kepada usaha menyelesaikan masalah rakyat daripada terlalu memikirkan kemelut dalaman parti itu ketika ini.

Beliau bagaimanapun melahirkan rasa kesal kerana ada beberapa UMNO bahagian membatalkan jemputan ke atas beliau untuk merasmikan persidangan hanya kerana digugurkan daripada jawatan menteri.

“Saya rasa perkara ini tidak perlu dibangkitkan. Saya rasa kesal kerana saya masih Naib Presiden UMNO walaupun tanpa jawatan dalam Kabinet,” katanya.

Leave a Reply