Nahas Helikopter: Jamaluddin Jarjis, Penggerak Utama Hubungan Malaysia-AS - pakdin.my

jamaluddin jarjis-obama

Hubungan diplomatik antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) meningkat ke tahap lebih tinggi pada tahun-tahun kebelakangan ini, dan perkembangan positif ini boleh dikaitkan dengan usaha yang dilakukan Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis.

Siapa yang boleh lupakan ketika Allahyarham secara rasmi memperkenalkan dirinya kepada Presiden Barack Obama apabila dengan bangganya memakai sepasang baju Melayu yang lengkap pada majlis penyerahan watikah pelantikan sebagai Duta Besar Malaysia di Amerika Syarikat pada 4 Nov 2009 di Oval Office, pada permulaan penggal perkhidmatan beliau sebagai duta Malaysia.

Sejak itu, Jamaluddin bekerja tanpa mengenal erti penat dalam usaha mempromosikan kepentingan Malaysia dalam koridor kuasa di Washington DC dan melewati sempadannya.

Sebaik tersebarnya berita Allahyarham Jamaluddin terbabit dalam nahas helikopter di Semenyih, Selangor, Sabtu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memberi penghormatan kepada kenalan lama beliau, dan berkata Allahyarham Jamaluddin individu yang berkebolehan tinggi, banyak berjasa untuk kerajaan, parti dan negara.

Selepas meninjau tapak nahas, Najib, yang dilihat cuba menahan sebak pada sidang media itu, berkata: “Tan Sri Jamaluddin memainkan peranan penting dalam mengeratkan hubungan Malaysia dan AS.”

Sesiapa yang pernah bertemu Jamaluddin — atau lebih dikenali sebagai JJ – pasti tahu apa yang beliau boleh lakukan di belakang tabir.

Seorang koresponden mengimbas kembali bagaimana beliau pernah menyatakan secara bersahaja kepada Allahyarham tentang kemungkinan Najib bergambar bersama-sama presiden Amerika yang dirakamkan di luar persidangan serantau.

“Yang mengejutkan saya, beliau mampu melakukannya – bukan mudah untuk melaksanakannya dalam keadaan biasa – beberapa hari kemudian, gambar perdana menteri kita bersama-sama presiden AS terpampang dalam kebanyakan akhbar utama,” katanya.

Menurut beliau, Najib sendiri sama sekali tidak menyangka namun gembira, apabila Obama menjemput beliau untuk sesi foto berdua itu, semasa mesyuarat berhenti rehat.

Bagi pemerhati, sesi foto itu penting memandangkan Najib satu-satunya pemimpin pada mesyuarat berkenaan yang mendapat keistimewaan itu.

Ini, kata wartawan itu, adalah bukti pengaruh dan kesungguhan Allahyarham untuk merealisasikan agenda hubungan Kuala Lumpur-Washington.

Duta Besar Amerika Syarikat di Malaysia, Joseph Y. Yun berkata Jamaluddin, 63, memberi sepenuh komitmen dan dedikasi dalam kerjasama kedua-dua negara.

“Hubungan dua hala yang begitu kukuh antara kita, sebahagian besarnya hasil daripada kreativiti, kegigihan dan wawasan beliau,” katanya.

Atas usahanya yang tidak pernah luntur untuk menonjolkan kepentingan Malaysia, Jamaluddin pernah digelar ‘Jurujual Terbaik Malaysia’ oleh kumpulan ahli perniagaan terkemuka di Washington.

Seorang tokoh yang mempunyai pengetahuan luas dalam bidang perniagaan, Allahyarham memanfaatkan pengalamannya dalam dunia korporat untuk meningkatkan hubungan perdagangan dan pelaburan antara Malaysia dan AS ke tahap lebih tinggi.

Malaysia dan AS berkongsi perdagangan dua hala berbilion-bilion dolar setiap tahun. AS merupakan rakan dagang keempat terbesar Malaysia.

Selain perdagangan dan pelaburan, Jamaluddin juga diketahui gigih merapatkan hubungan kedua-dua negara dalam bidang lain seperti pendidikan dan keselamatan.

Susulan perkhidmatan selaku duta, Jamaluddin dilantik pula sebagai duta khas Malaysia di AS, jawatan itu membolehkan beliau meneruskan tugasnya.

Kemuncak perkhidmatan beliau adalah lawatan rasmi sulung Obama ke negara ini dari 26-28 April 2014 – yang pertama oleh presiden AS dalam tempoh 48 tahun selepas lawatan Presiden Lyndon B. Johnson pada 1966.

Tidak keterlaluan untuk menyatakan bahawa tidak ada orang lain yang lebih gembira daripada Jamaluddin sebaik Obama melangkah keluar dari pesawat presiden pada April tahun lepas untuk memulakan lawatan ke Malaysia.

Dalam kejadian kira-kira 4.55 petang semalam, Jamaluddin yang merupakan Pengerusi Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) dan Ketua Setiausaha Sulit kepada Perdana Menteri Datuk Azlin Alias serta empat lagi mangsa dalam perjalanan pulang dari Pekan, Pahang ke Subang, Selangor apabila helikopter AS365N2 Dauphin (9M-1GB) terhempas di kawasan kebun getah di Semenyih.

Empat mangsa lain ialah juruterbang, Kapten Clifford William Fournier, Pembantu Operasi, Aidana Baizieva, pengawal peribadi Jamaluddin, Razakan Seran dan usahawan Datuk Tan Huat Seang.

UTAMABERITANahas Helikopter: Jamaluddin Jarjis, Penggerak Utama Hubungan Malaysia-AS

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium