@NajibRazak Mahu Umno, BN Tampil Sebagai Parti Yang Boleh Jamin Masa Depan Negara

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Umno dan Barisan Nasional (BN) perlu tampil sebagai parti yang boleh menjamin masa depan negara bagi menarik sokongan, khususnya golongan muda.

Najib, yang juga Presiden Umno berkata parti itu tidak boleh menjadi kaku atau terlalu konservatif kerana generasi muda mahu melihat perubahan dan suka kepada pembaharuan.

“Jadi, kita mesti tampilkan parti yang mampu membawa pembaharuan kepada negara. Sebab itu orang muda hari ini tak anggap mereka patut tolak Umno dan BN walaupun kita sudah berkuasa secara berterusan.

“Sekurang-kurangnya mereka lihat kita ini sebagai parti yang boleh membawa perubahan dan kemajuan dalam negara dan mereka nak tengok perancangan masa kini dan akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama dan Utusan Malaysia dalam temubual eksklusif di pejabatnya di bangunan Parlimen di sini sempena Perhimpunan Agung Umno ke-63 yang akan berlangsung dari 28 Nov hingga 1 Dis di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.

Perdana Menteri berkata memasuki era politik baru, Umno dan BN turut melakukan anjakan dari segi pentadbiran kerana jika tidak kerajaan akan dilihat sebagai kaku yang cuma boleh berjaya dalam persekitaran lama.

Untuk itu, pemberian rebat RM200 bagi pembelian telefon mudah alih pintar 3G kepada belia berumur 21 hingga 30 tahun, Bantuan Rakyat 1Malaysia bernilai RM250 kepada individu bujang berusia 21 tahun ke atas dan berpendapatan kurang RM2,000 sebulan dan Baucar Buku 1Malaysia kepada pelajar institusi pengajian tinggi dan pra-universiti bernilai RM250 menjadi antara pendekatan yang diperkenalkan bagi mendekatkan kerajaan dengan golongan belia.

Najib berkata usaha kerajaan mendekati dan memahami aspirasi golongan itu terbukti berhasil apabila calon proaspirasi menang di 18 daripada 20 Institusi Pengajian Awam pada pilihan raya kampus sesi 2012/2013 yang berlangsung baru-baru ini.

Di sebalik pencapaian itu, beliau berkata Umno sebagai parti tunjang dalam BN tidak lagi boleh terlalu bergantung dan bernostalgia dengan kejayaan lampau sebaliknya perlu memacu perubahan yang sentiasa diberi perhatian oleh generasi muda yang merangkumi lebih 40 peratus daripada jumlah pemilih pada pilihan raya umum akan datang.

Najib berkata sebagai orang muda yang rata-rata lahir di era pasca merdeka, mereka hanya mengetahui perjuangan Umno melalui pembacaan membuatkan mereka tidak memahami cerita sebenar di sebalik apa yang dibaca.

“…Sehebat mana pun kejayaan kita dulu, pada orang muda ini tak termasuk dalam buku dia. Yang mereka nak tengok masa kini dan akan datang dan sebab itu kita mesti tampilkan Umno dan BN sebagai parti yang boleh jamin masa depan mereka dan negara kita,” katanya.

Leave a Reply