@NajibRazak Rakam Penghargaan Kepada Melayu Dan Bumiputera Beri Mandat Baru

Pemerkasaan-Ekonomi-Bumiputera2

SHAH ALAM: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sekali lagi merakamkan penghargaan kepada rakyat Malaysia yang terus memberi kepercayaan kepada Barisan Nasional untuk menerajui kepimpinan negara.

Penghargaan diberikan Presiden Umno itu terutama kepada masyarakat Melayu dan Bumiputera yang beliau sifatkan telah “menunjang, mandat serta kepercayaan” kepada Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

“Yang lebih mengharukan ialah Umno sebagai parti tonggak kepada Barisan Nasional, berjaya menambah kerusi Parlimennya, daripada 79 kepada 88,” katanya pada Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera di sini.

“Ini membuktikan, walau apa pun rintangan, sekali apa pun tohmahan, Kepimpinan Transformatif Umno, bersama parti-parti komponen Barisan Nasional yang lain terus kukuh, terus kental dan terus ampuh bertahan, sebagai parti pilihan rakyat, bagi tempoh lima tahun akan datang, demi meneruskan agenda Melayu dan Bumiputera di tanah air tercinta ini,” kata Najib.

Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata setelah selesai PRU lepas, “kita mendengar pelbagai rungutan, pelbagai keluh-kesah serta ketidakpuasan hati, yang dibangkitkan oleh masyarakat Bumiputera, tentang nasib, masa depan dan hala tuju, bersama anak-anak cucu mereka, di bumi tanah tumpah darah kita.”

“Sememangnya, kita mendengar rintihan tuan-tuan dan puan-puan. Kita juga, menyelami denyut nadi serta resah gulana tuan-tuan dan puan-puan…, Ya… sesungguhnya!!!… kami mendengar (suara) anda… kami dapat mendengar dengan terang dan jelas,” katanya.

Pada majlis itu, Perdana Menteri mengumumkan lima strategi utama bagi memperkasakan ekonomi Bumiputera yang meliputi modal insan, pemilikan ekuiti, pemilikan aset bukan kewangan, keusahawanan dan penyampaian perkhidmatan.

Hadir sama Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri-Menteri Kabinet, ahli perniagaan Bumiputera, akademik dan ribuan penuntut UiTM, di Dewan Agong Tuanku Canselor, Kampus Induk UiTM, Shah Alam.

Leave a Reply