Palanivel Kekal Jawatan Presiden MIC Tanpa Bertanding - pakdin.my

DATUK SERI G. PALANIVELPresiden MIC Datuk Seri G.Palanivel (gambar) memenangi jawatan presiden parti tanpa bertanding selepas tiada calon lain untuk jawatan tertinggi parti itu selepas pencalonan ditutup tengah Ahad.

Disambut sorakan dan laungan “Hidup Palanivel” oleh hampir 1,500 penyokong yang berkumpul di ibu pejabat MIC di Jalan Rahmat di sini sejak 9 pagi, pengerusi jawatankuasa pemilihan presiden MIC, Tan Sri K.Kumaran mengumumkan kemenangan Palanivel tanpa bertanding.

Presiden MIC itu yang menyertai parti pada 1968 sebagai anggota biasa, memperoleh 617 pencalonan, jauh mengatasi jumlah 50 pencalonan diperlukan untuk bertanding jawatan itu.

Kumaran berkata Palanivel secara rasmi dipilih Presiden MIC yang ke-8 mengikut Artikel 58.3 dan 58.1.2 perlembagaan parti.

“Datuk Seri G.Palanivel akan dilantik sebagai Presiden MIC untuk tempoh tiga tahun (2013-2016) atau sehingga pemilihan presiden akan datang,” katanya.

Perlembagaan parti menetapkan mana-mana calon yang mahu bertanding jawatan presiden MIC, mesti terlebih dahulu menjadi pengerusi cawangan, dan juga mesti mendapat 50 pencalonan dan setiap pencalonan perlu mempunyai seorang pencadang dan lima penyokong.

Semua pencadang dan penyokong juga mesti terdiri daripada pengerusi cawangan atau anggota jawatankuasa kerja pusat, badan tertinggi pembuat keputusan parti.

Presiden MIC dipilih oleh 4,000 pengerusi cawangan parti.

Bercakap kepada pemberita selepas pengumuman itu, Palanivel mengucapkan terima kasih kepada pemimpin akar umbi MIC, khususnya pengerusi cawangan yang telah memberi kepercayaan dan penghormatan kepada beliau untuk menerajui parti berusia 77 tahun itu.

“Saya amat terharu dengan sokongan padu dan kepercayaan yang diberikan kepada saya. Saya menghargai keyakinan anda terhadap diri saya,” kata pemimpin berumur 64 tahun itu kepada penyokongnya yang berkumpul untuk pengumuman rasmi itu.

Palanivel, yang mengambil alih pucuk pimpinan parti selepas bekas Menteri Kerja Raya Datuk Seri S. Samy Vellu berundur sebagai presiden parti pada 2010, juga sebelum ini mengisytiharkan ini merupakan penggal terakhirnya sekira dipilih sebagai presiden.

Palanivel kemudian mengumumkan yang beliau akan menjadi pengerusi jawatankuasa pemilihan dan Kumaran timbalannya.

“Kami akan pergi ke setiap negeri dan berjumpa perwakilan untuk mendapatkan sokongan mereka bagi memperkukuhkan lagi parti,” katanya.

Pemilihan bagi jawatan peringkat pusat yang lain – timbalan presiden, tiga naib presiden dan 23 anggota jawatankuasa kerja pusat – akan diadakan pada November.

Pemegang untuk jawatan berkenaan akan dipilih oleh 1,500 perwakilan peringkat bahagian.

UTAMAPOLITIKPalanivel Kekal Jawatan Presiden MIC Tanpa Bertanding

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium