PAS Perlu Majoriti 2/3 Parlimen Pinda Perlembagaan Laksana Hudud

nik-amar-hudud

PAS perlu memperoleh majoriti dua pertiga di Parlimen untuk menukar perlembagaan bagi memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah membicarakan kes jenayah untuk pelaksanaan hukum hudud.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata jenayah membunuh, merogol dan mencuri adalah di bawah Mahkamah Sivil dan ia tidak boleh dibicarakan di Mahkamah Syariah.

“Hudud ini melibatkan hukuman dan saya katakan jenayah di Malaysia mengikut Perlembagaan Malaysia hanya boleh dibicarakan di Mahkamah Sivil,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Sosiobudaya ASEAN ke-13 di Bandar Hilir di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar yang meminta beliau menarik balik kenyataan kerana melabelkan pihak yang berhujah mengenai hudud sebagai bodoh.

Khamis lepas, Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan meluluskan rang undang-undang Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) atau hudud, untuk dilaksanakan ke atas orang Islam di negeri itu.

Mengenai hasrat PAS untuk membentangkan secepat mungkin Rang Undang-Undang Persendirian di Parlimen bagi membolehkan pelaksanaan hudud di Kelantan, Mohamed Nazri menyifatkan tindakan itu sebagai ‘kerja sia-sia dan sekadar permainan PAS’.

“Saya sebagai Menteri pernah bertanggungjawab soal Parlimen selama sembilan tahun.

“Usul persendirian di Parlimen ini, tidak akan naik selagi urusan kerajaan tidak habis dan lazimnya urusan kerajaan tak pernah habis,” katanya.

Menurut beliau ini bermakna usul itu akan hanya sekadar satu usul yang tidak akan dibahaskan dalam Parlimen.

Sementara itu, di PUTRAJAYA, seorang pemimpin Sarawak, Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Alexander Nanta Linggi berkata beliau tidak mempunyai masalah pelaksanaan hudud di Kelantan.

“Saya tidak kisah (pelaksanaan hudud di Kelantan),” kata Nanta yang merupakan anggota Parlimen Kapit.

Nanta yang juga Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah mengulangi bahawa undang-undang hudud tidak akan dikuatkuasakan di Sarawak.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya pendapat peribadinya tentang hudud selepas menghadiri majlis penyampaian bantuan bencana banjir dan majlis penghargaan oleh kementeriannya di sini Khamis.

Leave a Reply