Peguam Negara teliti tindakan terhadap peserta perhimpunan haram: PM - pakdin.my

PENDANG: Datuk Seri Najib Razak berkata, Peguam Negara sedang meneliti bentuk tindakan undang-undang yang boleh diambil terhadap kumpulan yang terbabit dalam perhimpunan haram pada 9 Julai lalu.

Perdana Menteri berkata, tindakan akan diambil berdasarkan keseriusan pelanggaran undang-undang yang dilakukan oleh mereka yang terbabit dalam perhimpunan itu.

“Perkara ini dalam tangan Peguam Negara dan saya percaya Peguam Negara akan melihat kes tersebut dan akan buat keputuan dalam masa yang terdekat berdasarkan kepada kategori tertentu.

“(Sama ada) mereka benar-benar dan terang-terang melakukan provokasi terhadap pihak berkuasa atau mereka yang jadi pengikut,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan perhimpunan Belia 1Malaysia di sini, hari ini.

Mengenai dakwaan terdapat laporan palsu terhadap pihak polis ketika perhimpunan haram berkenaan, Najib berkata jika terbukti laporan yang dibuat itu tidak benar, Peguam Negara akan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan bukti yang ada.

“Kalau begitu terang buktinya dan serius, saya percaya Peguam Negara akan membuat keputusan yang tepat,” katanya.

Mengenai aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang masih ditahan berhubung pembabitan mereka dalam satu perhimpunan haram dan memiliki dokumen subversif tanpa alasan sah, beliau berkata kumpulan itu diberi layanan yang baik oleh pihak berkuasa.
“Perkara ini dalam perhatian Menteri Dalam Negeri dan pihak polis, mereka akan buat hubungan dengan kumpulan ini.

“Mereka sedang diberi layanan yang baik dan saya percaya apa (jua) keputusan (ia) akan dibuat dengan pertimbangan sebaik mungkin,” katanya.

Diminta mengulas mengenai tindakan terhadap kumpulan yang didakwa membawa ideologi komunis di negara ini, Najib berkata komunis sebagai ideologi yang lapuk dan ditolak oleh masyarakat.

“Jika mereka nak gunakan kekerasan nak jatuhkan kerajaan Yang di-Pertuan Agong yang dipilih oleh rakyat, kita tengoklah kesalahan yang mereka lakukan,” katanya

UTAMABERITAPeguam Negara teliti tindakan terhadap peserta perhimpunan haram: PM

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium