BEERSIH 2.0 – Pembangkang Tidak Akan Menang Langsung Jika SPR Tidak Telus - pakdin.my

BANGKOK: Pembangkang tidak ada peluang langsung untuk memenangi kerusi pilihan raya sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak adil dan telus dalam mengendalikan pilihan raya di Malaysia.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata semua pilihan raya umum dan kecil akan dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) sahaja jika SPR bertindak sedemikian. “Kalau SPR tidak adil dan telus, bagaimana pembangkang boleh memenangi lima negeri pada pilihan raya umum lepas… tak kan nak menang semua negeri, baru SPR dianggap adil dan telus,” katanya dalam temuramah dengan TV3 dan Bernama di sini.

Beliau berada di sini sebagai pemerhati antarabangsa atas jemputan Suruhanjaya Pilihan Raya Thailand untuk memantau perjalanan pilihan raya umumnya yang akan diadakan Ahad ini.

Malaysia adalah antara 13 negara yang dijemput.

Abdul Aziz berkata kemenangan atau kekalahan sesebuah parti atau calon pilihan raya bergantung kepada keadaan dan bukan kerana SPR memberi pertolongan atau tidak.

“Di Malaysia, parti atau calon akan menang jika pengundi suka. Buatlah apa apa pun, tidak akan mengubah keadaan tersebut,” katanya. Abdul Aziz berkata memang sudah menjadi lumrah di mana-mana negara pun, bukan di Malaysia sahaja, parti yang kalah akan menjadikan badan pengendali pilihan raya sebagai sasaran mereka.

“Tidak bermakna bila (parti atau calon) kalah, SPR tidak adil,” katanya.

Beliau berkata dalam 16 pilihan raya kecil lepas, ada masa BN menang dan ada masa pula pembangkang yang menang BN memenangi lapan kerusi manakala pembangkang pula lapan kerusi.

“Dalam pilihan raya Sarawak, kerusi BN berkurangan dan adakah ini bermakna SPR tidak adil dan telus?,” tanya beliau.

Abdul Aziz berkata pada penilaian beliau, SPR telah melaksanakan tugas dengan sebaik-baiknya setelah mengendalikan 12 pilihan raya umum dan beratus-ratus pilihan raya kecil.

Dalam mengumpamakan SPR seperti pengadil bola, beliau berkata: “Biasalah… pasukan yang kalah akan menyatakan mereka kalah kerana pengadil tidak adil.”

Beliau berkata isyarat yang cuba dihantar oleh cadangan mengadakan perhimpunan haram di Kuala Lumpur pada 9 Julai adalah kononnya SPR tidak adil dan dikongkong oleh parti pemerintah.

“Kalau SPR gitu, tak kan ia dipanggil untuk menjadi pemerhati antarabangsa bagi pilihan raya umum Thailand ini,” katanya.

Beliau berkata para pemerhati antarabangsa dari 12 negara lain yang menyertai misi itu langsung tidak bertanyakan kepadanya perkembangan berhubung cadangan mengadakan perhimpunan haram itu.

“Ini kerana mereka iktiraf dan yakin SPR sebagai badan yang banyak mengendalikan pilihan raya. Mereka yakin pilihan raya Malaysia telus dan bebas,” katanya

UTAMABERITABEERSIH 2.0 – Pembangkang Tidak Akan Menang Langsung Jika SPR Tidak Telus

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium