Pencerobohan Lahad Datu: Ketua Menteri Sabah Lawat Dua Anggota Komando Cedera Dalam Insiden Tembakan

lahaddatu-lawatankmLAHAD DATU  — Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman hari ini melawat dua anggota komando yang cedera dalam insiden tembakan dekat sini semalam dengan kumpulan penceroboh bersenjata yang mendakwa sebagai pengikut ‘Sultan Sulu’ dari Filipina.

Anggota komando polis, Kpl Mohd Tarmizi Hashim, 32, dan Kpl Azman Ampong, 39, kini sedang beransur pulih di Hospital Lahad Datu.

Musa tiba di hospital itu pada 11.15 pagi dan meluangkan masa setengah jam bertanya khabar dan keadaan kesihatan mereka.

Seorang lagi anggota komando polis Konstabel Mohamad Qaiyum’aiqal Zolkifli, 22, yang cedera di bahu kanan dan kedua-dua kaki dirawat di Hospital Sandakan.

Turut bersama Musa adalah Timbalan Ketua Menteri Datuk Yahya Hussin, Anggota Dewan Undangan Negeri Lahad Datu Datuk Nasrun Datu Mansor, Anggota Parlimen Silam Salleh Kalbi dan Anggota Parlimen Kota Belud Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Insiden itu berlaku selepas kumpulan penceroboh dikepung di Kampung Tanduo, kira-kira 130km dari sini, sejak 9 Feb.

Leave a Reply