Pendapatan rakyat akan dipastikan selari dengan kos hidup

kos-sara-hidup

Kerajaan akan memastikan pendapatan rakyat terus meningkat seiring dengan pergerakan kos hidup.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar menjelaskan walaupun data awalan kajian pendapatan dan perbendaharaan isi rumah oleh Jabatan Statistik Malaysia baru-baru ini menunjukkan peningkatan dalam pendapatan isi rumah di Malaysia, namun kerajaan masih belum berpuas hati.

“Masih ramai keluarga yang mempunyai pendapatan kurang daripada RM3,000 walaupun ada peningkatan sebanyak 10 peratus jumlah isi rumah berpendapatan RM3,000 sebulan ke atas sejak 2009 hingga 2014 berdasarkan kajian baru-baru ini,” katanya ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohizam Ibrahim di sidang Dewan Rakyat pada Selasa.

Beliau bertanya sejauh mana kadar pergerakan gaji atau pendapatan rakyat seiring dengan pergerakan kos hidup secara purata kerana Model Baharu Ekonomi menumpukan peningkatan pendapatan perkapita rakyat menjelang 2020 di samping meningkatkan pendapatan golongan berpendapatan rendah serta sederhana rendah.

Dalam pada itu, Abdul Wahid juga memaklumkan dua juta isi rumah di Malaysia bersamaan 28.7 peratus yang memperoleh pendapatan kurang RM3,000 sebulan akan menikmati kehidupan lebih berkualiti melalui agenda transformasi ekonomi yang dilaksanakan kerajaan.

Sehubungan itu katanya kerajaan akan terus melaksana agenda transformasi untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi negara bagi mewujudkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi dan perniagaan.

“Kerajaan akan memberi tumpuan kepada dasar dan program termasuk pembangunan modal insan, peningkatan dalam produktiviti serta kreativiti dan inovasi,” katanya.

Tambah Abdul Wahid berkata berdasarkan kajian yang sama, purata pendapatan isi rumah meningkat daripada RM4,025 sebulan pada 2009 kepada RM5,000 sebulan pada 2012 dan RM5,919 sebulan pada tahun 2014 berdasarkan data awalan kajian itu.

Pendapatan menengah atau median meningkat daripada RM2,830 pada 2009 kepada RM3,636 pada 2012 dan RM4,258 pada 2014 iaitu peningkatan lapan peratus sepanjang lima tahun.

“Bagi 40 peratus isi rumah terendah ia meningkat daripada RM1,440 pada 2009 kepada RM1,847 pada 2012 dan RM2,312 pada 2014 iaitu peningkatan 10 peratus setahun dalam tempoh yang sama,” katanya.

Sehubungan itu katanya kerajaan akan terus melaksanakan usaha bagi meningkatkan pendapatan isi rumah negara ini termasuk pelaksanaan gaji minimum, meneruskan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), meluaskan inisiatif seperti Kedai 1Malaysia (KR1M), dan menyediakan peluang perniagaan kepada mereka.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual membentangkan Bajet 2015 Jumaat ini.

Leave a Reply