PENJELASAN MENGENAI KEDUDUKAN FGV DI BURSA MALAYSIA

Datuk-Noor-Ehsanuddin-bin-Haji-Mohd-Harun-Narrashid

Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) hanya terkeluar daripada senarai top 30 Indeks Komposit, dan bukan dinyahkan daripada Bursa Saham.

Perkara ini adalah lumrah dalam perniagaan dan pemegang saham terutama peneroka, tidak harus berasa panik, kata Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid.

Beliau, yang juga salah seorang ahli lembaga pengarah FGV, menjelaskan demikian bagi menangkis tindakan sesetengah pihak yang cuba mengelirukan peneroka dengan mendakwa FGV telah dinyahkan terus dari Bursa Saham.

“FGV masih berada dalam Pasaran Utama Bursa dan sahamnya akan diniagakan setiap hari seperti biasa. Biasalah, pembangkang mainkan isu ini untuk menakutkan peneroka FELDA. Kita jangan bimbang. Kita berniaga macam biasa. Cuma pasaran terkumpul tidak sebesar dahulu. Adalah tidak mustahil dalam beberapa bulan ia boleh naik balik dan FGV boleh masuk semula top 30,” katanya.

Ehsanuddin, yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi, berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat ke-12 Jawatankuasa Pencari Fakta (AIFOCOM) Antara Parlimen ASEAN (AIPA) bagi Memerangi Ancaman Dadah di Kuala Lumpur, pada Selasa.

Menurut Ehsanuddin, terdapat antara 800 hingga seribu syarikat yang tersenarai dalam Bursa yang turut jatuh kedudukan dan terkeluar daripada senarai top 30 tetapi orang tidak ambil pusing.

“Ada syarikat yang berada pada kedudukan nombor 300 tetapi perniagaannya tetap berjalan macam biasa. FGV walaupun keuntungannya pada penggal kedua jatuh berbanding penggal pertama, ia masih mencatat keuntungan.

“Ada banyak syarikat lain yang mengalami kerugian, contohnya IOI Plantations yang rugi RM188 juta. Sarawak Plantation turun sebanyak 98 peratus manakala Genting Plantation turun 48 peratus. Rata-rata banyak kaunter turun sebab harga kelapa sawit turun. Jadi kalau orang nak kata FGV sahaja, ia tidak adil.

“Banyak lagi syarikat yang jatuh, tetapi FGV yang disasarkan. Puak-puak ini saja nak buat orang FELDA marahkan kerajaan,” tambahnya.

Menurut Ehsanuddin, di sebalik apa yang berlaku, peneroka yang merupakan pemegang saham tidak kerugian apa-apa dan tetap mendapat dividen. Katanya semasa durian runtuh mereka mendapat RM15 ribu dan aset 20 peratus dan kemudian tambahan RM15 ribu lagi serta dividen RM2 ribu.

FGV disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia sejak Jun 2012. Nilai pasarannya ketika disenaraikan pada waktu itu mencecah RM20 bilion apabila harga meningkat RM5.60/sesaham.

Apabila nilai pasaran tinggi, FGV diletakkan dalam senarai 30 syarikat bernilai pasaran tertinggi ketika itu.

Bagaimanapun harga saham FGV yang telah jatuh kira-kira 50 peratus semenjak IPO telah menyebabkan nilai pasaran modal jatuh kepada kira-kira RM7 bilion ketika ini dan telah menyebabkan kedudukan FGV bukan lagi di kalangan 30 syarikat dengan pasaran modal tertinggi.

Sejak awal 2014 harga minyak sawit mentah (MSM) dunia telah turun secara drastik dan menyebabkan syarikat-syarikat berasaskan komoditi berkenaan terjejas dari segi perolehan dan juga keuntungan.

Indeks perladangan di Bursa Malaysia juga jatuh antara enam hingga tujuh peratus dalam tempoh enam bulan sebelum ini dan memberi kesan negatif kepada pelabur yang mula beralih ke kaunter-kaunter saham selain perladangan.

Hampir semua kaunter perladangan mengalami pengurangan nilai saham berbanding dengan kedudukan mereka pada tahun 2012. FGV, yang yang bergantung lebih 60 peratus perolehannya daripada sektor perladangan, telah menerima kesan paling ketara berbanding syarikat perladangan lain yang kadar kebergantungan mereka lebih rendah.

Kejatuhan harga MSM dan saham adalah di luar kawalan pengurusan FGV kerana ia ditentukan oleh kuasa pasaran.

Leave a Reply