Perkhidmatan Tren Kuang-Rawang-Kuang Kembali Pulih

Kesemua perkhidmatan tren laluan Kuang-Rawang-Kuang yang terhalang akibat kabel milik Tenaga Nasional Berhad, TNB terputus dan menghalang laluan tren sejak awal pagi tadi, kini pulih.

Menurut kenyataan KTMB, operasi perkhidmatan tren kembali beroperasi seperti biasa mulai pukul 10:30 pagi.

Beberapa perkhidmatan bas perantaraan yang dijadualkan pagi ini untuk mengangkut penumpang KTM komuter, KTM Intercity dan Electric Train Service, ETS yang terkandas ekoran insiden itu telah ditarik balik.

Maklumat lanjut boleh diperolehi melalui pusat khidmat pelanggan KTM di talian 1-300-88-5862.

Berita terdahulu:

Perkhidmatan tren laluan antara Kuang-Rawang-Kuang terhalang sejak 1:13 pagi tadi.

Ia berpunca insiden kabel milik Tenaga Nasional Berhad, TNB terputus dan jatuh melintang di laluan tren Keretapi Tanah Melayu Berhad, KTMB di Kilometer 375.721.

Beberapa kabel talian atas yang berfungsi membekalkan tenaga kepada tren KTM komuter dan ETS turut terputus.

Insiden menyebabkan perkhidmatan terpaksa dijadualkan semula termasuk perkhidmatan KTM komuter laluan Rawang -Sungai Gadut, Ekspres Langkawi, Ekspres Senandung Mutiara, Ekspres Sinaran Mutiara dan perkhidmatan ETS.

Tiada perkhidmatan KTM kargo melalui kawasan laluan terhalang sehingga laluan bebas.

Kerja-kerja pengalihan dan baik pulih sedang dilakukan dan jangka masa pulih belum dapat dipastikan.

Bagi perkhidmatan tren yang dibatalkan, pengguna boleh membuat tuntutan semula harga tiket atau membuat penukaran tarikh perjalanan.

Maklumat lanjut boleh didapati dengan menghubungi pusat khidmat pelanggan KTM Berhad di talian 1-300-88-5862.

Leave a Reply