Perutusan Aidiladha: Malaysia terus pacu kedaulatan Islam – PM @NajibRazak - pakdin.my

najib-perutusan-aidil-adha

Malaysia, sebagai negara yang memaktubkan Islam sebagai agama negara, tetap istiqamah dalam mendaulatkan kedudukan Islam di negara ini, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata, kerajaan akan terus memacu negara menuju wawasan yang telah ditetapkan berpaksikan objektif syariah atau maqasid syariah.

“Kita berazam seiring dengan program-program transformasi yang telah kerajaan susun untuk terus memantapkan perkembangan syiar dan syariat Islam di negara ini,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Hari Raya Aidiladha 1434 Hijrah esok dalam blognya www.1Malaysia.com.my.

Dalam pada itu, Najib berkata, Malaysia sentiasa komited menjadi penyelesai konflik umat Islam di negara-negara lain yang menuntut peranan Malaysia sebagai pendamai.

“Harumnya nama Malaysia ini telah menjadi sebutan di persada dunia. Lebih membanggakan lagi dalam pengertian semangat pengorbanan menurut Islam, maka Malaysia sentiasa komited menjadi penyelesai konflik umat Islam di negara-negara lain yang menuntut peranan Malaysia sebagai pendamai.

“Kita juga menerajui gerakan kesederhanaan dan keamanan di peringkat global bagi membendung gejala ekstremisme agama dan sebagainya,” katanya.

Dalam masa sama, Najib berkata, Malaysia akan berusaha untuk muncul sebagai sebuah negara Islam moden yang progresif, maju dan berpendapatan tinggi.

“Ini mengiktibari betapa jemaah haji Malaysia terkenal sebagai model jemaah terbaik di Tanah Suci yang telah diiktiraf oleh dunia,” katanya.

Menurutnya, pada masa ini, kira-kira 28,000 umat Islam Malaysia yang mengerjakan ibadah haji dan jutaan lagi di tanah air sedang bersedia dengan ibadah korban.

Najib berharap ibadah korban dan haji itu benar-benar menyuburkan semangat pengorbanan demi perjuangan agama dan meninggikan kalimah Allah.

“Saya dan keluarga mendoakan buat mereka yang berada di Tanah Suci, selamat mengerjakan ibadah haji dan semoga mendapat haji yang mabrur… bagi yang berada di tanah air, marilah kita hiasi hari raya ini dengan takbir dan tahmid.

“Sama-samalah kita melaksanakan solat Aidiladha serta melakukan ibadah korban. Semoga sembelihan korban kita ini benar-benar diterima oleh Allah SWT serta meneguhkan lagi takwa kita,” katanya.

UTAMAPerutusan Aidiladha: Malaysia terus pacu kedaulatan Islam - PM @NajibRazak

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium