Pesawat MH370 Dipercayai Tenggelam Ke Dalam Launtan Hindi – Pakar Komunikasi Satelit - pakdin.my

mh370-penemuan-sayap

Pesawat MH370 yang hilang dipercayai sebahagian besarnya masih berada dalam ‘bentuk asal’ dan terdampar di dasar kawasan selatan Lautan Hindi, menurut pakar komunikasi satelit tempatan Zaaim Redha Abdul Rahman.
Teori beliau menyatakan kemungkinan bahawa pesawat itu ‘terapung untuk seketika’ sebelum tenggelam dalam kejadian malang pada hari pesawat itu jatuh.
“Saya percaya pesawat itu telah kehabisan minyak, menjunam ke lautan dengan daya tujah perlahan… dengan demikian, saya berfikiran bahawa badan pesawat kekal seperti asal,” kata Zaaim Redha yang, selepas MH370 dilaporkan hilang, segera membantu untuk membaca dan membuat kesimpulan mengenai bacaan data penerbangan tersebut yang diperoleh daripada satelit dikendalikan oleh Inmarsat, sebuah firma komunikasi satelit bumi yang berpangkalan di United Kingdom.
Berdasarkan analisis data satelit Inmarsat di antara MH370 dengan stesen di bumi, para penyiasat membuat kesimpulan bahawa penerbangan itu telah berakhir di selatan Lautan Hindi.
Sehubungan itu, pada 24 Mac tahun lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan perkara berkenaan, 17 hari selepas penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing itu hilang daripada imbasan radar.
KEMUNGKINAN TIADA SERPIHAN KECIL PESAWAT
Dalam satu temu bual baru-baru ini, Zaaim Redha berkata bahawa teori beliau yang menyatakan pesawat itu menjunam ke dalam laut disokong oleh penemuan flaperon sepanjang dua meter baru-baru ini, di Pulau Reunion yang terletak di Lautan Hindi, disahkan sebagai bahagian daripada pesawat MH370 yang hilang.
“Flaperon tersebut hanya mengalami sedikit kerosakan dan hanya diselaputi teritip. Keadaannya menunjukkan bahawa ia tidak terpisah daripada badan pesawat secara kasar… malah bekas tanggalan pada serpihan itu kelihatan seolah-olah terpisah dengan baik di bahagian tepian sayap,” jelas beliau.
Zaaim Redha, yang kini merupakan perunding utama di Zeta Resources Sdn Bhd – yang menyediakan, antara lain, perkhidmatan perunding komunikasi satelit dan kejuruteraan. Beliau pernah menjadi sebahagian daripada pasukan perintis di Measat yang bertanggungjawab membangunkan dan melancarkan satelit pertama Malaysia.
Ketika berkhidmat dengan NEC Jepun, beliau mengetuai pasukan multinasional untuk mereka bentuk dan membangunkan sistem komunikasi satelit Inmarsat-P ICO System (Generation 4).
Mengulas lanjut mengenai saiz serpihan bencana udara didapati konsisten dengan impak kemalangan, Zaaim Redha memberi contoh kemalangan pesawat Germanwings Flight 9525 di Alps Perancis pada Mac tahun ini, di mana tidak ada serpihan yang melebihi satu kaki (kira-kira 0.3 meter) panjang disebabkan oleh kesan terhempas yang kuat.
“Jika MH370 telah terhempas dengan kuat, kita akan mendapati banyak serpihan kecil daripada pesawat itu terapung di atas air sebaik saja selepas kemalangan itu berlaku. Tambahan pula, flaperon yang dijumpai (dari Pulau Reunion) tidak mungkin akan berada dalam bentuk kepingan besar… kita mungkin hanya menemui serpihan-serpihan kecilnya sahaja,” kata beliau.
Beliau yakin bahawa selepas menjunam ke dalam lautan, pesawat MH370 itu “terapung untuk seketika” sebelum tenggelam “dalam bentuk asalnya”.
Menurut beliau, adalah tidak mustahil juga untuk sebuah kapal terbang terapung di permukaan air seperti dibuktikan oleh US Airways Flight 1549, yang terpaksa membuat pendaratan cemas di Sungai Hudson selepas bertembung sekumpulan beburung sehingga menyebabkan kedua-dua enjin jetnya gagal, pada Januari 2009.
TENGGELAM DI DASAR LAUTAN
“Terdapat juga kemungkinan bahawa pesawat (MH370) pesawat telah tenggelam jauh ke dasar lautan untuk beberapa lama sebelum flaperon (sebahagian daripada sayap pesawat) itu tertanggal.
“Begitu juga dengan bahagian-bahagian lain yang tertanggal dan terapung akibat arus air yang kuat, sebelum dipukul ombak lalu hanyut sehingga sampai ke pantai pulau-pulau seperti Reunion,” katanya.
Mengenai kemungkinan jika flaperon itu telah terapung di permukaan air selama lebih 4,000 kilometer sebelum berakhir di Pulau Reunion, Zaaim Redha berkata keadaan itu adalah munasabah berdasarkan keadaan arus semasa lautan tersebut.
“Berdasarkan corak bumi berputar, besar kemungkinan sekeping pesawat boleh terapung (lebih jauh) kerana arus lautan boleh menjadi sangat kuat.
“Kuasa arus lautan memang sukar dijangkakan… umpamanya baru-baru ini, seorang wanita Rusia yang merupakan seorang penerjun bebas terhebat sepanjang zaman, gagal untuk timbul selepas menyelam di Mediterranean dan dikhuatiri berdepan dengan arus dasar laut yang kuat ketika di dalam air.”
Pada 8 Mac tahun lalu, pesawat MAS Boeing 777-200ER yang menuju ke Beijing dengan membawa 239 penumpang dan anak kapal hilang daripada imbasan radar, kira-kira 49 minit selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Baru-baru ini pada 29 Julai, sebahagian daripada sayap pesawat, dirujuk sebagai flaperon, ditemui di pantai Pulau Reunion di bawah pentadbiran Perancis yang terletak di Lautan Hindi.
Pada 6 Ogos, Najib mengumumkan bahawa pakar-pakar antarabangsa mengesahkan bahawa kesan materi penyelenggaraan pada bahagian pesawat itu sepadan dengan yang ada pada pesawat MH370.
Pasukan penyiasat yang melakukan pencarian di persisiran pantai pulau berkenaan selepas penemuan itu turut menemui beberapa serpihan lain termasuk kusyen tempat duduk, bingkai tingkap, serta sisa-sisa sebuah beg pakaian dan botol kosong.
Bagaimanapun, penemuan tinggalan berkenaan masih belum dikenal pasti sebagai sebahagian daripada pesawat yang hilang itu.

UTAMABERITAPesawat MH370 Dipercayai Tenggelam Ke Dalam Launtan Hindi - Pakar Komunikasi Satelit

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium