PKNS: Pengguguran Azmin Kekal

azmin khalid

Keputusan pengguguran Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Mohamed Azmin Ali sebagai Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) kekal seperti yang diputuskan badan itu sebelum ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, PKNS bersetuju untuk mengekalkan arahan pengguguran Mohamed Azmin seperti yang diarahkan Pengurus Besarnya, Othman Omar pada 8 Januari lalu.

“Kedudukan Ahli Lembaga Pengarah PKNS berkenaan kekal (digugurkan) bagi mengelakkan sebarang kompilasi perundangan,” katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Selain itu Abdul Khalid berkata, kerajaan negeri juga membuat keputusan untuk ‘menggugurkan’ Othman dan Setiausaha Eksekutif Kerja PKNS, Norita Mohd Sidek daripada perbadanan itu berkuat-kuasa hari ini sehingga siasatan dalaman mengenai kontroversi ini selesai.

“Bagi melaksanakan siasatan menyeluruh adalah amat sukar jika kedua-duanya masih bertugas di PKNS.

“Justeru Setiausaha Kerajaan Negeri telah mengeluarkan arahan kepada kedua-dua pegawai ini ditukarkan sementara ke ibu pejabat SUK bermula hari ini,” katanya.

Tambah Abdul Khalid, antara perkara yang perlu disiasat ialah mengenai bagaimana surat pemecatan Mohamed Azmin dikeluarkan oleh Othman tanpa pengetahuannya selaku Pengerusi PKNS.

Isu pengguguran Mohamed Azmin menjadi hangat apabila kerajaan negeri dan PKNS menuding jari antara satu sama lain.

Abdul Khalid sebelum ini menafikan dakwaan beliau terlibat dalam membuat keputusan menggugurkan Mohamed Azmin dan menjelaskan perkara itu dicadangkan Othman yang mahu menamatkan khidmat Ahli Parlimen Gombak itu pada penghujung bulan ini.

Bagaimanapun kenyataan Menteri Besar itu disangkal oleh Norita yang memaklumkan kuasa melantik Anggota Lembaga Pengarah adalah di tangan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang dipengerusikan Abdul Khalid dan bukan Pengurus Besar selaras dengan klausa 4(1) Enakmen Penubuhan PKNS.

Norita berkata, pengguguran Mohamed Azmin itu juga disahkan oleh MMKN pada Disember lalu.

Leave a Reply