PKR Akui Gabungan Politik PR Tidak Lagi Berfungsi Secara Formal

wan-azizah-kabinet-bayangan

Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hari ini mengakui bahawa gabungan politik Pakatan Rakyat (PR) tidak lagi berfungsi secara formal.

Katanya keadaan itu berlaku berikutan usul untuk memutuskan hubungan dengan DAP diterima tanpa bahas di Muktamar PAS Ke-61, manakala Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP telah mengumumkan ‘penamatan riwayat’ PR, dan dianggap oleh PKR sebagai tergesa-gesa.

Beliau berkata perkara tersebut adalah antara keputusan yang dibuat semasa mesyuarat Biro Politik PKR semalam.

“Namun kami bersyukur ke hadrat Allah SWT kerana semangat dan sokongan PR di Selangor di bawah pimpinan Menteri Besar Mohamed Azmin Ali dan di bawah pimpinan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng terus kekal.

“Dalam semangat yang sama, dan tertakluk kepada Dasar Bersama Pakatan Rakyat, PKR akan terus memberi sokongan kepada Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Wan Azizah berkata PKR juga akan merintis usaha untuk membina permuafakatan parti-parti politik, badan bukan kerajaan (NGO), kumpulan-kumpulan rakyat dan tokoh-tokoh berpengaruh untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN).

PR ditubuhkan pasca Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008 atas inisiatif bekas presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama pimpinan utama dengan membawa tiga parti pembangkang terbesar dalam negara yang bergabung untuk menentang BN.

Semalam, media melaporkan DAP telah mengisytiharkan PR yang terdiri daripada parti itu, PKR dan PAS tidak lagi wujud.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata keputusan yang dibuat Muktamar PAS untuk memutuskan hubungan dengan DAP telah ‘membunuh’ pakatan itu.

Pada awal bulan ini, Muktamar PAS Ke-61 telah meluluskan resolusi untuk memutuskan hubungan dengan DAP, setelah DAP secara rasmi memutuskan hubungan dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

DAP memutuskan hubungan dengan Abdul Hadi selepas mendakwa Abdul Hadi gagal untuk membincangkan dengan anggota PR lain berhubung rancangan PAS untuk meneruskan pelaksanaan undang-undang hudud di Kelantan.

Leave a Reply