PM bincang kuota haji 
dengan Raja Salman

Salman-bin-Abdulaz

JEDDAH, ARAB SAUDI  – Kuota khas jemaah haji Malaysia merupakan antara perkara yang akan dibincangkan Perdana Menteri, ­Datuk Seri Najib Tun Razak yang akan memulakan lawatan rasmi selama tiga hari di sini bermula esok.

Duta Besar Malaysia di Arab Saudi, Zainol Rahim Zainuddin berkata, perkara itu merupakan permintaan khas sempena lawatan Najib kali ini dalam usaha membolehkan lebih ramai rakyat Malaysia mengerjakan Rukun Islam kelima itu.

Selain itu, tambah beliau, lawatan rasmi Najib sehingga Isnin ini juga lebih bermakna memandangkan ini merupakan pertemuan sulung dan dibuat atas undangan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz al-Saud yang baru ditaba­lkan awal tahun ini.

“Ini merupakan satu penghormatan kepada Malaysia memandangkan Perdana

Menteri merupakan salah seorang ketua negara atau ketua kerajaan yang dijemput

khusus oleh baginda untuk mengadakan perbincangan.

“Selain bagi mengeratkan lagi hubungan yang sudah lama terjalin, kedua-dua pemimpin ber­kenaan juga akan membincangkan pelbagai perkara dalam hubungan dua hala antara Kuala Lumpur dan Riyadh,” katanya kepada wartawan Malaysia di sini hari ini.

Najib yang dijangka diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom turut akan menunaikan ibadat umrah.

Ini merupakan lawatan rasmi kedua Najib ke Arab Saudi dalam tempoh kira-kira dua tahun selepas melakukannya pada Disember 2013 yang mana beliau ketika itu turut diberi penghormatan dengan status sebagai tetamu negara.

Malaysia ketika ini masih menunggu keputusan rayuan berhubung penambahan kuota jemaah untuk musim haji tahun ini daripada kerajaan Arab Saudi yang hanya akan diketahui apabila musim haji hampir tiba.

Kuota haji yang diberikan kepada Malaysia ketika ini ialah seramai 22,320 jemaah bermula 2013 berbanding 28,900 jemaah sebelumnya.

Pengurangan kuota haji itu berikutan kerja-kerja perluasan dan pembangunan Masjidil Ha­ram di Mekah yang masih berjalan sehingga kini.

Menurut Zainol Rahim, sebagai antara pemimpin negara terawal yang dijemput selepas pertabalan Raja Salman, menunjukkan keakraban kerajaan Malaysia dengan Arab Saudi.

Perkembangan itu juga, kata beliau, menggambarkan kerajaan Arab Saudi menganggap Malaysia sebagai negara yang penting bukan sahaja di rantau Asia Tenggara tetapi di peringkat dunia.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, sempena lawatan kali ini juga, Najib akan melawat depoh sistem Metro yang akan digunakan untuk bakal haji di stesen Al Mashaaer Al Mugaddasah, Mekah Ahad ini.

Depoh itu menurutnya, dibangunkan Prasarana Malaysia Bhd. (Prasarana) yang memenangi bidaan sebagai ‘pengendali bayangan’ bagi Fasa Pertama Metro Program Pengangkutan Awam Mekah (Makkah Metro).

Hanya beroperasi pada musim haji, jelasnya, stesen itu berke­upayaan mengendalikan seramai 100,000 jemaah dalam satu-satu masa.

“Pemberian projek ini jelas menunjukkan kepercayaan kerajaan Arab Saudi terhadap kemampuan rakyat Malaysia.

“Kita mempunyai beberapa pelaburan di Arab Saudi tetapi pemberian projek mengendalikan sistem pengangkutan ini jelas me­nunjukkan keyakinan dunia terhadap kemampuan Malaysia dalam aktiviti ekonomi,” katanya.

Leave a Reply