Polemik Peguam Negara: Pasrah Raja pada kehendak rakyat - pakdin.my

#MalaysiaMemilih #MalaysiaBaru

Akhirnya terlantik juga Tommy Thomas sebagai Peguam Negara, walaupun rakyat berpolemik dengan pelbagai kegusaran yang tercetus lantaran pelbagai isu menyentuh reputasi dan kredibiliti dirinya hinggalah kepada falsafah dan pola pemikiran beliau yang difikirkan mengancam kedaulatan Islam di negara ini.

Daripada nada perutusan perkenan DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong Ke-XV (YDPA) sudah cukup menggambarkan betapa beratnya Tuanku untuk membuat keputusan tersebut. Sekaligus meletakkan Baginda dalam dilema yang cukup besar di antara mempertahankan kedaulatan Islam yang merupakan tunjang kekuasaan Raja-Raja Melayu dengan keterpaksaan untuk akur pada keputusan majoriti rakyat yang telah memilih Kerajaan Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum yang lalu.

Tuanku YDPA hakikatnya sudah melakukan yang terbaik untuk mencari jalan yang paling adil bagi mempertahankan kedaulatan Islam termasuk melibatkan semua Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja dalam membincangkan isu perlantikan Peguam Negara. Namun akhirnya dalam Sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Pilhan Raya, DYMM YDPA tiada pilihan lain kecuali akur dengan kehendak rakyat.

Walaupun mungkin ada dalam kalangan kita yang kecewa dan mula gusar dengan kedudukan Islam pada masa depan, hakikatnya kita semua harus menyedari bahawa itulah pilihan rakyat dalam PRU lepas yang perlu dihormati.

Buat Tuan Peguam Negara yang baru, Tommy Thomas, diucapkan selamat menjalankan tugas dan amanah baru ini. Namun biar apapun pendirian dan kecenderungan saudara, ambillah isyarat Istana dan rakyat agar tidak sesekali melangkaui segala garis panduan dan memperjudikan ketaatan kepada Raja, keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera serta kedudukan Islam sebagai agama Negara, demi kestabilan dan kemakmuran berterusan.

Moga Tuanku DYMM YDPA akan terus istiqomah menitahkan apa sahaja yang difikirkan penting untuk memelihara Islam sebagaimana sumpah Tuanku dengan nama Allah untuk memelihara Agama Islam pada setiap masa. Usah diendahkan suara-suara sumbang segelintir yang cuba meracuni pemikiran rakyat jelata seolah-olah Tuanku mencampuri urusan pentadbiran kerajaan.

Mudah-mudahan melalui peristiwa yang berlaku dapat membuka hati rakyat betapa besarnya kuasa ditangan mereka termasuklah untuk terus mendokong dan menumpahkan kesetiaan tanpa berbelah bahagi kepada Institusi Raja yang merupakan institusi yang menjadi benteng terakhir bagi kita mempertahankan kedaulatan Islam di negara ini.

OLEH: DR ASYRAF WAJDI DUSUKI
Ahli Majlis Tertinggi UMNO

https://pakdin.my/tag/tommy-thomas

UTAMAPOLITIKPolemik Peguam Negara: Pasrah Raja pada kehendak rakyat

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium