Polis Johor Pertimbang Tindakan Terhadap Guan Eng

Polis sedang mempertimbangkan tindakan yang boleh dikenakan ke atas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng ekoran kenyataannya memburukkan negeri ini dalam satu pertemuan dengan media asing di Singapura, baru-baru ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, beberapa laporan polis telah dibuat mengenai perkara itu dan pihaknya akan mengenal pasti tindakan yang boleh diambil memandangkan kenyataan itu dibuat di luar negara.

Beliau yang nyata berang dengan keceluparan Guan Eng, turut menyifatkan kenyataan Setiausaha Agung DAP itu tidak boleh diterima, berniat jahat, tidak berasas dan tidak benar sekali gus mengingatkan pemimpin DAP itu tidak bercakap sesuka hati.

“Kenyataan beliau kononnya sesiapa sahaja dari Singapura yang datang berurus niaga di negeri ini tidak selamat dan akan diculik oleh penjenayah adalah amat dikesali dan jelas ia adalah tidak benar sama sekali.

“Trend penurunan indeks jenayah yang dicatatkan negeri ini jelas membuktikan keadaan keselamatan di negeri ini adalah terjamin bukan sahaja untuk rakyat negeri ini tetapi juga rakyat asing,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Guan Eng yang didakwa memburukkan negeri Johor dalam satu pertemuan dengan media asing di Singapura baru-baru ini dan disiarkan sebuah stesen tempatan semalam.

Justeru, Mohd. Mokhtar dengan tegas meminta pihak berkenaan supaya lebih bijaksana dan berwaspada ketika membuat kenyataan kerana ia mampu menggugat keharmonian umum dan merencatkan kegiatan ekonomi ekoran kenyataan tidak bertanggungjawab itu.

“Saya juga ingin menegaskan di sini bahawa pihak polis akan terus menjalankan tanggungjawab dan amanah yang diberikan dan tidak sesekali akan melemahkan semangat kami dalam menjaga keamanan negara dengan perkara seperti itu,” katanya.

——————–

TPM Kecam Lim Guan Eng
Tindakan Ketua Menteri Pulau Pinang menghalang pelabur ke Johor dengan memburuk-burukkan negeri itu sebagai tidak selamat, dikecam.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menganggap sikap Lim Guan Eng itu sebagai sombong dan bongkak.

TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN/TIMBALAN PERDANA MENTERI
“Guan Eng jangan lupa, tak mungkin pelabur datang sana jika tak ada respon baik dari kerajaan pusat, dia jadi Ketua Menteri pun baru tiga tahun, Pulau Pinang jadi negeri perindustrian semasa era BN lagi so dia jangan bongkak dan sombong.”

Semalam, Menteri Perdagangan Antarabangsa Dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed dilapor berkata, Guan Eng memburuk-burukkan Johor ketika berada di luar negara.

Johor dikatakan negeri tidak selamat dan berisiko akan diculik jika berada di negeri itu.

Leave a Reply