Mazlan Lazim

Ketua Polis negeri, Datuk Mazlan Lazim berkata, pihaknya ada menerima laporan daripada seorang lelaki yang mendakwa anak lela­kinya berusia lima tahun cuba diculik dalam kejadian kira-kira pukul 4.50 petang kelmarin.

Bagaimanapun beliau berkata, kejadian tersebut tidak sama de­ngan kes remaja yang berbohong menyatakan telah diculik dua lelaki India di Pelabuhan Klang, Selangor minggu lalu.

“Kita tetap akan menyiasat secara menyeluruh mengenai dakwaan ini sama ada benar atau sebaliknya.

“Kejadian yang diceritakan ka­nak-kanak terbabit juga tidak boleh disahkan dan mungkin bukan melibatkan kes culik atau cubaan menculik ke­rana maklumat yang diperoleh hanya daripada dakwaan kanak-kanak dan ibunya semata-mata,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam dakwa­an cubaan menculik kanak-kanak dan laporan polis yang dibuat bapa kanak-kanak itu tersebar luas di laman sosial Facebook sebelum dikongsi kira-kira 200 pengguna lain sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat setempat.

Laporan berkenaan mendakwa, ketika kejadian, kanak-kanak tersebut ternampak sebuah van putih telah berhenti berhampiran rumahnya sebelum seorang lelaki bertopeng mengham­pirinya sambil menghulurkan gula.

Dakwa laporan itu, mangsa kemudian melarikan diri ke rumah neneknya yang terletak berhampiran dan menguncikan pintu rumah berkenaan sebelum suspek ak­hirnya melarikan diri.

Sementara itu Maz­lan berkata, ke­terangan yang diambil daripada ibu dan anaknya itu didapati bercanggah.

“Kita tidak boleh hanya bergantung kepada dakwaan semata-mata memandangkan tiada saksi yang melihat kejadian tersebut.

“Namun, kita tidak mahu orang ramai panik berhubung kejadian tersebut dan setakat ini tindakan sewajarnya telah diambil pihak polis,” ujarnya.