Rakyat Ragu Dengan Pendirian Terkini PAS - pakdin.my

pru13-DAP

Keputusan PAS untuk memutuskan hubungan dan kerjasama politik dengan DAP namun kekal bersama PKR dalam pakatan pembangkang, hanya menimbulkan keraguan rakyat tentang hala tuju sebenar parti itu, demikian menurut seorang ahli akademik.

Merujuk usul Dewan Ulama yang diluluskan semasa Muktamar Tahunan PAS ke-61 pada Sabtu lepas, pensyarah Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia Dr Mohamad Faisol Keling berpendapat keputusan PAS turut menimbulkan persoalan tentang status dan kekuatan pengaruh parti, yang memperjuangkan Islam dalam pakatan.

“Dengan mengambil keputusan sebegitu, adakah PAS yang digambarkan membawa imej Islam mampu diyakini untuk dihormati dan didengari pendiriannya atau adakah PAS hanya bersifat menuruti keputusan rakan dalam gabungan pakatan?

“Pendirian sebegini jelas menunjukkan hala tuju PAS adalah meragukan,” katanya.

Pada muktamar berkenaan, usul yang dibawa itu diputuskan untuk diterima tanpa bahas ekoran beberapa kenyataan beberapa pemimpin DAP yang mengkritik Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang terutama dalam isu hudud.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang menerima keputusan PAS itu kemudian menggesa agar semua wakil PAS yang berkhidmat di bawah kerajaan Negeri Pulau Pinang meletak jawatan, di samping mengeluarkan kenyataan bahawa DAP tidak memerlukan orang tengah bagi menyelesaikan perselisihan antara dua parti itu.

Pengerusi Jawatankuasa Usul pada muktamar PAS, Datuk Mahfuz Omar pula berpendapat PAS tidak akan berpatah balik mengenai usul putus kerjasama dengan DAP, dan cubaan PKR untuk menjadi orang tengah bagi mendamaikan DAP dan PAS adalah usaha sia-sia.

Mengulas lanjut, Mohamad Faisol berkata keputusan PAS memutuskan hubungan dengan DAP secara tidak langsung membuktikan bahawa PAS sudah ‘tidak tahan’ dengan kerenah DAP yang tidak menghormati parti itu meskipun PAS selama ini cuba menafikannya.

Katanya realiti itu sepatutnya perlu disedari lebih awal malah dengan konsep tahaluf siyasi yang diamalkan antara PAS dan DAP, ia jelas bertentangan kerana masyarakat sedia maklum tindak-tanduk DAP yang menentang agenda PAS.

“Dalam matlamat tahaluf siyasi PAS itu, adakah umat Islam perlu mengikut perintah orang bukan Islam atau orang bukan Islam yang perlu mengikut perintah orang Islam? Adakah PAS masih tidak menyedari kelemahan tahaluf siyasi ini apabila majoriti pemimpin PAS dalam Dewan Ulama mengakui ‘hasil sebenar’ kerjasama PAS selama ini,” katanya.

Mohamad Faisol dalam masa sama turut berkata adalah lebih baik sekiranya kerjasama antara Umno dan PAS direalisasikan kerana selain berteraskan matlamat penyatuan Umat Islam, ia juga mampu membawa kebaikan dalam aspek pembangunan umat termasuk seluruh masyarakat.

UTAMAPOLITIKRakyat Ragu Dengan Pendirian Terkini PAS

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium