Rakyat Selangor Seharusnya Serik Beri Mandat Kepada Pakatan Pembangkang - pakdin.my

manifesto PKR SelangorKUALA LUMPUR — Rakyat Selangor seharusnya sudah serik untuk memberi mandat sekali lagi kepada pakatan pembangkang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti apabila ternyata mereka gagal menunaikan segala janji yang dibuat dalam manifesto pilihan raya lepas.

Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk Seri M. Kayveas berkata kegagalan Parti Keadilan Rakyat menunaikan manifesto yang dijanjikan kepada rakyat Selangor membuktikan ketidakupayaan pakatan pembangkang mentadbir dan mereka tidak seharusnya diberikan peluang sekali lagi.

“Isu air, isu bantuan ibu tunggal dan beberapa isu lain yang gagal diselesaikan pakatan pembangkang di Selangor jelas menunjukkan mereka tidak layak untuk mentadbir.

“Apatah lagi untuk mentadbir lebih banyak negeri…peluang telah diberi kepada mereka, namun nampaknya mereka gagal, maka untuk PRU akan datang penduduk Selangor tidak harus terus memberi peluang kepada mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Ponggal dan Tahun Baharu Cina Bersama Rakyat Bahagian Kelana Jaya di Subang Jaya, di sini Ahad.

Turut hadir Naib Presiden Kanan PPP yang juga Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Maglin D’Cruz.

Kayveas berkata keengganan kerajaan Selangor membenarkan kerajaan Barisan Nasional (BN) meneruskan projek loji air Langat 2 merupakan kesilapan paling besar di mana mereka sanggup mengetepikan kepentingan rakyat demi kepentingan politik mereka.

“Jika mereka mahu mentadbir negeri, tadbirlah dengan baik, tapi janganlah kepentingan awam diketepikan, penduduk Selangor dah rasa deritanya bila terjadi krisis air baru-baru ini, kerajaan ini tidak perlu diberi peluang lagi,” katanya.

Mengulas mengenai calon parti PPP untuk bertanding dalam PRU akan datang, Kayveas menjelaskan ia terpulang pada budi bicara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kayveas berkata PPP ada menghantar beberapa nama calon untuk bahagian dan Parlimen untuk pertimbangan Najib.

“Tapi siapa pun calon tidak penting. Siapa pun calon BN kita tetap sokong. Apa yang penting sekarang memastikan kemenangan BN,” katanya.

UTAMAPOLITIKRakyat Selangor Seharusnya Serik Beri Mandat Kepada Pakatan Pembangkang

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium