RCI: Kerajaan atau parti politik tidak terlibat projek IC di Sabah - pakdin.my

RCI-SABAH-PROJEK-IC

Kerajaan atau parti politik tidak terlibat dalam pengeluaran kerakyatan kepada migran yang tidak layak di negeri Sabah.

Itu antara yang ditekan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai masalah pendatang asing di negeri berkenaan.

Ia sekaligus menangkis dakwaan yang tersebar luas bahawa agensi persekutuan mengeluarkan kerakyatan demi mendapatkan undi bagi menewaskan lawan mereka dalam rancangan yang digelar ‘Projek IC’.

Sebaliknya, laporan RCI itu mengenalpasti sindiket melibatkan bekas pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang didakwa mengeluarkan kerakyatan secara haram untuk bayaran jutaan ringgit.

Malah menurut laporan itu lagi, seramai 68,703 orang yang tidak layak diberikan kerakyatan di antara tahun 1963 sehingga 31 Ogos, 2013.

RCI juga mendapati, ada di kalangan individu tersebut didaftarkan sebagai pengundi, namun jumlahnya yang sebenar tidak dapat ditentukan.

Laporan itu dilancarkan oleh Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Ali Hamsa di Kota Kinabalu pada Rabu.

RCI juga membuat kesimpulan bahawa terdapat “kredibiliti” dalam testimoni yang diberi oleh lima orang yang mengaku menjadi sebahagian daripada projek yang dikatakan itu.

Menurut laporan itu lagi, lima orang saksi tersebut bagaimanapun tidak disoal balas seperti yang sepatutnya dijalankan semasa perbicaraan.

“Atas sebab itu, dan melihat kepada penafian ke atas dakwaan berkenaan, kami hanya boleh menyimpulkan bahawa ada kebarangkalian bahawa ‘Projek IC’ sememangnya wujud seperti yang ditunjukkan dalam keterangan lima saksi terbabit.

“Ringkasnya, terdapat kemungkinan bahawa projek tersebut sememangnya wujud pada semua masa yang material,” laporan itu dipetik.

Selepas siasatan berlarutan selama dua tahun, RCI hanya mengemukakan satu syor dalam laporannya setebal 368 halaman, iaitu penubuhan satu sekretariat kekal untuk mengatasi masalah pendatang asing tanpa izin di Sabah.

Ia turut mencadangkan agar satu jawatankuasa pengurusan ditubuhkan dengan kuasa yang luas bagi menyokong sekretariat kekal itu.

Ia turut memberi pilihan kepada kerajaan untuk menubuhkan satu jawatankuasa perunding berhubung masalah imigran dan pendatang asing, sekiranya tidak bersetuju dengan penubuhan jawatankuasa pengurusan.

Laporan itu juga menggariskan agar jawatankuasa tersebut diketuai oleh anggota profesional bebas yang berwibawa dan tidak terlibat dengan politik, termasuk pegawai tinggi kerajaan, ahli korporat, akademik, wakil persatuan guaman.

Syor itu menggariskan, majlis berkenaan seterusnya akan membincangkan dan meneliti masalah tersebut, dan seterusnya membuat laporan termasuk syor kepada sekretariat.

“Majlis ini perlu diberikan kuasa untuk menubuhkan jawatankuasa atau jawatankuasa kecil untuk menangani aspek khusus mengenai imigran atau warga asing di Sabah,” laporan itu dipetik.

RCI yakin bahawa penubuhan badan sepertri itu akan dapat menyelesaikan masalah pendatang asing tanpa izin dan juga masalah berkaitan dengan Sabah.

Suruhanjaya dianggotai enam anggota panel itu ditubuhkan pada 2012 dengan diketuai oleh bekas ketua hakim Sabah dan Sarawak, Tan Sri Steve Shim.

Laporan itu telahpun disiapkan sejak awal tahun ini namun tidak didedahkan kepada umum, sehinggalah hari ini.

UTAMARCI: Kerajaan atau parti politik tidak terlibat projek IC di Sabah

Kongsi Berita

Swipe kiri - kanan untuk berita sebelum & selanjutnya
Implement swipe gesture in Angular application | by Milan Perovic | Medium