RCI Skandal FOREX: BNM Rugi RM34.547B Dari 1988-1994 – Bekas Pengurus Akaun BNM

Bank Negara Malaysia (BNM) mengalami kerugian keseluruhan berjumlah RM34.547 bilion dalam urus niaga mata wang asing di antara tahun 1988 dan 1994.

Bekas Pengurus Akaun BNM, Abdul Aziz Abdul Manaf, berkata angka kerugian itu dinyatakan dalam laporan bertajuk Accounting Treatment of Losses Arising From Active Reserve Management 1998-1994, bertarikh 18 April 2007 yang disediakannya bersama seorang lagi pegawai.

Abdul Aziz berkata, maklumat dalam laporan itu diambil daripada dokumen Lembaga Pengarah BNM, penyata tahunan, Minit Mesyuarat Jawatankuasa Lembaga Audit dan kenyataan aset serta liabiliti.

Saksi itu berkata, beliau tidak pasti sama ada berlaku penyediaan perakaunan berhubung urus niaga mata wang asing di luar kebiasaan kerana tidak terbabit dalam penyediaan akaun tahunan BNM ketika itu.

“Laporan saya itu adalah ‘after event’ (selepas kejadian), oleh itu saya tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai sistem dari aspek ‘check and balance’ yang ada di BNM berhubung pelaksanaan urus niaga mata wang asing BNM pada 1980-an hingga 1994.

“Mengikut laporan saya, ada Jawatankuasa Rizab Luaran (mulai 1989) yang dipengerusikan Gabenor BNM dan Jawatankuasa Seliaan bagi mengawal selia dan memantau urus niaga mata wang asing bagi tempoh itu,” katanya.

Abdul Aziz berkata, laporan mengenai kerugian BNM disediakan beliau selepas diarahkan bekas Gabenor BNM, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz pada 2007.

Saksi pertama suruhanjaya siasatan itu berkata, beliau tidak dapat mengingati sama ada arahan untuk menyiapkan laporan berkenaan diterima secara lisan atau melalui surat daripada Zeti.

“Pada waktu itu, Zeti meminta saya mengumpulkan semua maklumat mengenai semua urus niaga mata wang asing BNM pada tempoh itu. Laporan itu saya siapkan pada 18 April 2017 dan diserahkan kepada Zeti.

“Selepas tugas yang diarahkan kepada saya selesai, saya tidak mengetahui apakah tindakan susulan yang diambil oleh Zeti ke atas laporan itu,” katanya.

Abdul Aziz yang membacakan pernyataan saksi pada prosiding berkenaan, berkata beliau tidak mengetahui bahawa bank pusat berkenaan ada mendapatkan pandangan luar sebelum menjalankan urus niaga mata wang asing.

Peguam BNM, Datuk Tan Hock Chuan memberitahu suruhanjaya siasatan, bank pusat itu mendapat khidmat nasihat daripada sebuah firma guaman dan Peguam Diraja British (Queen’s counsel).

Suruhanjaya Siasatan itu ditubuhkan bagi menyiasat kerugian urus niaga mata wang asing Bank Negara Malaysia (BNM) sekitar 1980-an dan 1990-an yang dikatakan mencecah lebih AS$10 bilion.

Operasi urus niaga mata wang asing itu berlaku pada era Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri.

Sementara itu, saksi kedua, Datuk Ahmad Hizzad Baharudin, memberitahu suruhanjaya, beliau menerima arahan daripada pihak atasan pada April 1993 untuk menyiapkan laporan bagi menyiasat punca kerugian yang dialami BNM.

Ahmad Hizzad yang ketika itu berkhidmat sebagai Juruaudit Dalaman BNM, berkata tujuan laporan berkenaan untuk mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab, sebaliknya mencari langkah bagi mengatasi masalah terbabit.

Beliau berkata, berdasarkan audit yang dijalankan, ada polisi bertulis di BNM ketika itu mengenai urus niaga mata wang asing, tetapi tidak mengingati secara terperinci, namun pelaksanaannya dari aspek ‘semak dan imbang’ masih tidak mencukupi.

Katanya, pemerhatian audit terhadap Bahagian Pemprosesan di Jabatan Akaun BNM, antaranya mendapati fungsi pemprosesan yang tidak mencukupi, kemungkinan laporan tidak lengkap mengenai keuntungan dan kerugian berbangkit daripada operasi tukaran mata wang asing dan bank tidak menilai semula urus niaga dari semasa ke semasa.

Leave a Reply