RM15 juta bina kompleks peniaga, penjaja kecil di Kuala Muda, Kedah dilulus

PM bersama Ahmad Bashah selesai menunaikan solat Jumaat di Sungai Petani, Kedah

PM bersama Ahmad Bashah selesai menunaikan solat Jumaat di Sungai Petani, Kedah

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan khabar gembira kepada penduduk negeri Kedah apabila meluluskan peruntukan sebanyak RM15 juta untuk membina kompleks perniagaan bagi peniaga dan penjaja kecil di Kuala Muda dekat sini.

Najib berkata, kompleks tersebut merupakan permohonan pertama yang disuarakan Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah selaku Menteri Besar.

‘‘Kalau saya tidak jawab nanti Menteri Besar tidur tidak lena.

‘‘Jadi saya luluskan permohonan peruntukan RM15 juta untuk membina kompleks tersebut asalkan tujuan kita baik untuk tolong peniaga yang duduk merata tempat, bersepah-sepah, kita kumpul di satu tempat,’’ katanya ketika berucap dalam majlis perasmian Pusat Transformasi Bandar (UTC) Sungai Petani, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom serta Ahmad Bashah.

Menurut Najib, Kedah mendapat layanan istimewa daripada kerajaan Pusat apabila permohonan untuk peruntukan membina kompleks perniagaan peniaga dan penjaja kecil itu diluluskan.

‘‘Sebelum ini peruntukan untuk UTC Sungai Petani yang bernilai RM15 juta telah diluluskan.

‘‘Kiranya Menteri Besar minta RM15 juta dapat RM30 juta, itu istimewanya Kedah ini,’’ katanya.

Selain itu, dalam ucapannya, Najib turut menyatakan komitmen untuk terus memberikan kerjasama dan sokongan kepada Kedah yang pentadbirannya kini diterajui oleh Ahmad Bashah.

‘‘Kerajaan Pusat akan memberikan kerjasama dan sokongan kepada negeri ini apatah lagi Kedah kekurangan hasil dan dana.

‘‘Oleh itu, tanpa sokongan kerajaan Pusat mungkin sukar untuk Kedah lipat gandakan usaha pembangunan dan kebajikan kepada rakyat,’’ jelasnya.

Terdahulu, Ahmad Bashah dalam ucapan sulung sebagai Menteri Besar Kedah di hadapan Perdana Menteri dan hampir 3,000 rakyat negeri ini memohon agar Najib mempertimbangkan permohonan bagi membina sebuah kompleks perniagaan peniaga dan penjaja kecil di daerah ini untuk membantu mening­katkan pendapatan rakyat.

Comments (No)