Saman sivil Jabatan Kehakiman AS tidak namakan Perdana Menteri sebagai defendan

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak dinamakan sebagai defendan atau dikatakan melakukan sebarang salah laku jenayah dalam saman sivil oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (AS) ke atas 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Mohamed Apandi turut memandang berat terhadap sindiran dan dakwaan-dakwaan yang dibuat terhadap Perdana Menteri mengenai apa yang dikatakan salah laku jenayah berhubung tindakan sivil yang difailkan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat.

“Peguam Negara ingin menjelaskan bahawa tindakan sivil yang difailkan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat langsung tidak menamakan Perdana Menteri sebagai defendan atau dikatakan telah melakukan salah laku jenayah,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata pada masa ini, siasatan sedang dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia mengenai perkara-perkara berkaitan 1MDB.

“Oleh kerana siasatan sedang dijalankan, adalah tidak wajar untuk mendedahkan butiran yang mungkin boleh menjejaskan siasatan. Peguam Negara harus menegaskan bahawa adalah penting untuk mengekalkan integriti siasatan supaya orang ramai tidak meragui hasil siasatan,” kata Mohamed Apandi.

Beliau menambah, sehingga kini Jabatan Peguam Negara belum menerima sebarang permintaan daripada Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat untuk mendapatkan maklumat atau bukti.

“Bagaimanapun, kami mengalu-alukan permintaan seperti itu selaras dengan komitmen kami dalam kerjasama dan kolaborasi antarabangsa dalam memerangi pengubahan wang haram dan amalan rasuah,” kata beliau.

Beliau turut menekankan bahawa sebagai Pendakwa raya, beliau tidak teragak-agak untuk memulakan prosiding terhadap pelaku perlakuan jenayah jika ada bukti yang mencukupi untuk berbuat demikian.

“Sebarang salah laku mesti dan akan dihukum. Malaysia sentiasa mendukung prinsip kedaulatan undang-undang,” katanya.

Peguam Negara berkata tindakan sivil telah difailkan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat bagi pelucutan hak aset-aset berkaitan dan bahawa perkara itu kini tertakluk di bawah mahkamah sivil di Amerika Syarikat

9 Replies to “Saman sivil Jabatan Kehakiman AS tidak namakan Perdana Menteri sebagai defendan

Leave a Reply